BUKIT MERTAJAM – Perjalanan penumpang KTM Komuter dari Stesen Bukit Mertajam ke Sungai Petani, Kedah pada Sabtu lalu diserikan dengan edaran Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.
Lebih 300 penumpang menerima Jalur Gemilang menerusi program yang dianjurkan Kelab Wanita Muda Bukit Mertajam dengan kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Bukit Mertajam dan Pejabat Penerangan Seberang Perai Tengah (SPT).
Seramai 20 peserta menyertai program berkenaan termasuk ahli Kelab Wanita Muda, pegawai Pejabat Penerangan SPT serta anak angkat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, program itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat berbilang kaum selain mengukuhkan hubungan komuniti dengan agensi kerajaan.
Katanya, pengedaran Jalur Gemilang kepada penumpang menjadi simbol semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat Malaysia dalam meraikan bulan kemerdekaan.
“Program ini berjaya menceriakan suasana dalam komuter dan menjadi simbol kebersamaan rakyat Malaysia dalam meraikan bulan kemerdekaan.
“Jalur Gemilang yang berkibar di tangan penumpang melambangkan semangat perpaduan yang terus subur di hati rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Wanita Muda Bukit Mertajam, Nasuha Mohd Rodzuan berharap edaran Jalur Gemilang itu dapat menyemarakkan rasa cinta kepada tanah air dalam kalangan penumpang.
“Semoga semangat patriotisme ini terus semarak dalam hati setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi anak angkat Steven Sim, Lee Teck Qing, 22, yang juga pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), penyertaannya dalam program itu sebagai pengalaman bermakna yang membawa mesej perpaduan kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada semua yang merancang aktiviti bermakna ini. Walaupun hanya mengedarkan Jalur Gemilang, diharapkan usaha ini membawa semangat Satu Malaysia kepada masyarakat Madani.
“Terima kasih atas sokongan YB Sim yang sentiasa membantu kehidupan kami,” katanya. – MalaysiaGazette
















