IPOH – Keterjaminan makanan Perak tidak bermula di pasar raya atau di meja makan, sebaliknya bermula di ladang, sawah, kawasan ternakan dan setiap lokasi pengeluaran makanan yang menjadi nadi kepada kehidupan rakyat.
Atas sebab itu, sektor pertanian perlu terus diperkukuh sebagai sektor strategik negeri yang menentukan kestabilan bekalan makanan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan agenda pertama Pelan Perak Sejahtera 2030.
Dalam menghadapi cabaran kos sara hidup, perubahan iklim dan ketidaktentuan rantaian bekalan global, kekuatan pertanian negeri menjadi semakin penting bagi memastikan rakyat Perak terus mempunyai akses kepada bekalan makanan yang mencukupi dan stabil.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani dalam ucapannya menjelaskan dalam konteks Pelan Perak Sejahtera 2030, usaha memperkasa peladang perlu diterjemahkan kepada perubahan yang benar-benar dapat dirasai di peringkat ladang.
Menurutnya, kedudukan sektor tersebut dalam ekonomi Perak cukup besar. Pada tahun 2025, pertanian menyumbang 13.6 peratus kepada ekonomi negeri dan berkembang 1.2 peratus, disokong oleh peningkatan dalam subsektor tanaman serta ternakan.

“Angka ini menunjukkan bahawa pertanian kekal sebagai salah satu asas penting kepada kekuatan ekonomi Perak, selain menjadi sektor kritikal dalam memastikan agenda keterjaminan makanan negeri dapat direalisasikan.
“Bagan Serai dan Daerah Kerian mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kehidupan peladang. Kerian merekodkan 12,341 pegangan pertanian, antara yang tertinggi di Perak, serta kawasan bertuai seluas kira-kira 57,500 hektar.
“Angka-angka ini membuktikan bahawa pertanian bukan kegiatan sampingan dan ia adalah sebuah sektor ekonomi yang besar, menyediakan pekerjaan, menggerakkan perdagangan di pekan-pekan kecil, menyokong industri pemprosesan dan memastikan makanan terus sampai ke meja rakyat,“ katanya.
Dalam pada itu, bagi memastikan agenda itu dapat direalisasikan, kerjasama pelbagai pihak perlu diperkukuh, antaranya Jabatan Pertanian Negeri Perak, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPN) serta jabatan dan agensi berkaitan.

Justeru, penganjuran Peladang Agro Karnival Perak (PAKAR) 2026 yang membawa semangat Road to MAHA 2026 yang diadakan di Bagan Serai baru-baru ini antara platform untuk memperkukuh rantaian nilai sektor pertanian dan meningkatkan pendapatan golongan peladang.
Pemilihan Bagan Serai juga signifikan kerana kawasan ini mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan aktiviti pertanian dan kehidupan masyarakat peladang.
Penganjuran ini bukan sekadar menghimpunkan pemain industri pertanian, sebaliknya perlu menjadi medan untuk memperlihatkan hala tuju baharu pertanian Perak yang lebih moden, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.
Ia memberi ruang untuk kita menghargai perjalanan panjang gerakan peladang, di samping menilai sejauh mana sektor ini perlu diperkukuh untuk berhadapan dengan tuntutan masa hadapan.
Saarani berkata, setiap daerah mempunyai kekuatan yang berbeza dari segi hasil seperti padi, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan atau akuakultur.

Katanya, data ini perlu digunakan untuk menentukan jenis sokongan, teknologi, latihan dan pasaran yang sesuai, supaya bantuan tidak dilaksanakan secara umum tanpa mengambil kira keperluan sebenar di lapangan. Ukuran kejayaan juga perlu jelas.
“Kita mahu melihat hasil meningkat, kehilangan selepas tuaian berkurang, lebih banyak produk diproses, jualan anggota berkembang dan pendapatan peladang bertambah.
“Keperluan sektor pertanian hari ini kerana cabarannya tidak lagi terbatas kepada menghasilkan lebih banyak makanan, tetapi bagaimana setiap hasil dapat diberikan nilai yang lebih tinggi sepanjang rantaian pengeluaran.
“Di sinilah pertubuhan peladang perlu memainkan peranan untuk menghimpunkan pengeluaran anggota, memperkukuh kuasa tawar-menawar serta membuka akses kepada pasaran yang sukar dicapai secara bersendirian.
“Pendekatan secara berkelompok juga mampu membantu peladang mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan pengeluaran dan memperoleh pulangan yang lebih baik daripada hasil yang diusahakan,“ ujarnya.

PAKAR juga perlu menjadi tempat peladang mengenali penyelesaian yang benar-benar berguna di lapangan, termasuk mekanisasi bersesuaian, sistem pengairan cekap, penggunaan dron, penderia, analisis data, pemasaran digital serta amalan pertanian yang lebih tahan terhadap cuaca tidak menentu.
Sementara itu, golongan muda tidak boleh dipujuk memasuki pertanian hanya dengan slogan tetapi mereka perlu melihat laluan perniagaan yang jelas, akses kepada tanah dan pembiayaan, bimbingan teknikal, penggunaan teknologi serta pasaran yang mampu memberikan pulangan munasabah.
Jika sektor pertanian mahu kekal menjadi tunjang keterjaminan makanan dalam jangka panjang, isu pewarisan dan penyertaan generasi muda perlu diberikan perhatian serius. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penggunaan teknologi, pengurusan cekap perlu diperluas perkasa sektor pertanian
Perak giat perkukuh pertanian bandar demi keterjaminan makanan
















