PERAI – Seorang lelaki maut manakala dua lagi individu termasuk seorang pejalan kaki cedera dalam kemalangan berhampiran Masjid Jalan Baru, Taman Pauh di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.31 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu BMW, Muhammad Faizwan Noor Salihi, 29.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.31 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 2.40 pagi.
Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kereta iaitu Perodua Myvi, BMW dan Proton Persona serta seorang pejalan kaki.
Bagaimanapun, katanya, Perodua Myvi dan Proton Persona berkenaan didapati berada di bahu jalan, manakala pemandu kedua-dua kenderaan itu tiada di lokasi kejadian.

“Dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang BMW tersepit dalam kenderaan, manakala seorang pejalan kaki mengalami kecederaan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap menjalankan kerja penyelamatan dan berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit pada jam 3.22 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya dengan ambulans untuk menerima rawatan susulan.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan pada jam 4.11 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette
















