KUALA LUMPUR – Polis sudah merakam percakapan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung hantaran tular mengenai dakwaan seorang individu dimalukan ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd Din berkata, percakapan pegawai JIM terbabit dirakam pada Ahad lalu, manakala wanita berkenaan dipanggil untuk memberi keterangan kelmarin.
Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Semakan rakaman CCTV masih dalam siasatan pihak polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, tular satu hantaran di Threads susulan dakwaan seorang individu mendakwa dirinya dimalukan ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral. – MalaysiaGazette
















