Pengamal Undang-Undang, Selvam Shanmugam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat Lembaga Tabung Haji (TH) berhak menentukan saksi yang perlu dipanggil bagi membantu melengkapkan terma rujukannya, kata peguam Selvam Shanmugam.

Katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini, fakta seseorang telah disapina dan hadir dalam prosiding RCI tidak bermakna individu berkenaan mempunyai hak automatik untuk memberikan keterangan.

“RCI berhak menilai keterangan yang sudah tersedia dan menentukan saksi yang benar-benar diperlukan bagi memenuhi terma rujukannya.

”Ia tidak berkewajipan memanggil setiap individu yang berpotensi menjadi saksi hanya kerana individu itu mahu mempertahankan keputusan yang pernah dibuatnya,” ujarnya.

Tegasnya, RCI mempunyai akses kepada pelbagai dokumen, rekod kewangan serta keterangan individu yang terlibat secara langsung dalam proses perakaunan dan pembuatan keputusan berkaitan.

“Jika RCI berpandangan keterangan Tan Sri Dr Madinah Mohamad tidak akan membantu siasatan secara material, keputusan untuk tidak memanggil beliau adalah dalam bidang kuasa RCI,” jelasnya.

Menurutnya, latar belakang akademik Madinah yang dilaporkan dalam bidang sains politik dan pengurusan sumber manusia juga wajar diambil kira dalam menilai aspek teknikal berkaitan audit dan perakaunan.

“Walaupun beliau pernah memegang jawatan Ketua Audit Negara, kerja audit teknikal dilaksanakan pegawai berkelayakan yang berkhidmat di bawahnya.

”Justeru, RCI berhak memberikan pertimbangan lebih besar kepada dokumen semasa dan keterangan saksi yang mempunyai pengetahuan teknikal secara langsung,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan keputusan RCI mungkin berbeza sekiranya Madinah dipanggil memberi keterangan adalah sesuatu yang bersifat spekulatif kerana ukuran sesuatu siasatan adalah berdasarkan bukti yang dikemukakan kepada RCI.

“Yang penting, perhatian awam tidak seharusnya dialihkan daripada penemuan substantif RCI berkaitan kedudukan kewangan Tabung Haji, pengisytiharan dividen serta usaha melindungi wang pendeposit.

“Ini melibatkan simpanan dan amanah jutaan umat Islam. Perkara ini memerlukan akauntabiliti, bukan gangguan politik,” tegasnya.

Mengulas perbezaan antara audit biasa dan siasatan forensik, Selvam berkata, perbezaan pendekatan itu mungkin menyebabkan perkara berlainan dikenal pasti, namun ia tidak menjawab persoalan sama ada tindakan sewajarnya telah diambil apabila wujud tanda amaran kewangan yang serius.

“Perbezaan antara audit rutin dan siasatan forensik tidak dengan sendirinya membatalkan kesimpulan RCI,” ujarnya.

Jelasnya, RCI diwujudkan bagi menjalankan siasatan secara bebas dan menyeluruh, justeru penemuannya perlu dinilai berdasarkan merit serta diikuti siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan sekiranya disokong bukti.

“Keyakinan awam terhadap Tabung Haji tidak akan dipulihkan dengan menyerang RCI hanya kerana kesimpulannya tidak selesa untuk diterima.

“Keyakinan itu hanya boleh dipulihkan melalui ketelusan, akauntabiliti dan tindakan tegas bagi melindungi kepentingan pendeposit,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Madinah terkilan disapina RCI tetapi tak dipanggil beri keterangan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here