KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan Rumoh Mekda, satu jenama restoran dengan membawa cita rasa Pantai Timur
Terletak di Bangsar Village 1, pembukaan restoran itu menjadi satu detik bermakna dalam perjalanan Rumoh Mekda, yang bermula dengan katering untuk majlis dan keraian kepada membuka sebuah rumah dapat dinikmati setiap hari.
Bagi pengasasnya yang dikenali Mekda, Rumoh Mekda bukan sekadar tentang membuka sebuah restoran namun mewujudkan sebuah tempat untuk makanan yang selama ini telah membawa kegembiraan kepada ramai melalui perjalanan katering Rumoh Mekda.
“Perjalanan ini bermula melalui perniagaan katering, jenama ini membina hubungan pertama dengan pelanggan bagi satu hidangan, satu majlis dan satu jamuan pada satu masa.
“Daripada pengalaman tersebut, kami melihat sesuatu yang cukup bermakna di mana makanan mempunyai cara tersendiri untuk menyatukan manusia.
“Dan apabila makanan itu membawa cita rasa serta kenangan dari rumah, hubungan tersebut menjadi lebih istimewa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menampilkan hidangan yang kaya dengan rasa, penuh dengan jiwa daripada tradisi masakan rantau ini, menu Rumoh Mekda mengetengahkan hidangan seperti Nasi Kerabu Ayam Percik, Ikan Patin Goreng Sambal Tempoyak, Daging Tumbok dan Singgang Oxtail di mana setiap satunya membawa keunikan cita rasa serta tradisi masakan Pantai Timur.
Sebagai pelengkap hidangan, menu Puding Raja menawarkan penutup yang membangkitkan nostalgia dengan rasa tradisional yang dekat dengan pengalaman menikmati juadah warisan.
Lebih daripada sekadar menghidangkan makanan tradisional, Rumoh Mekda mahu mengekalkan rasa di sebalik setiap hidangan yang bersifat pemurah, kehangatan dan semangat kebersamaan yang menjadikan makanan Malaysia begitu istimewa.
Bagi Mekda, restoran itu bukan sekadar tentang menghasilkan semula hidangan tradisional, tetapi tentang mengekalkan emosi dan kenangan yang datang bersamanya.
“Makanan sangat dekat dengan hati kita. Satu hidangan boleh mengingatkan kita kepada ibu, nenek, kampung halaman atau satu majlis bersama keluarga. Perasaan itulah yang kami mahu kekalkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















