Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kedudukan kewangan Pahang terus menunjukkan prestasi kukuh apabila hasil negeri kini mencecah RM921.72 juta, bersamaan 72.03 peratus daripada sasaran RM1.279 bilion bagi tahun ini setakat 26 Ogos lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi itu turut disokong pertumbuhan ekonomi negeri yang semakin memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang meningkat kepada RM71 bilion pada 2025, berbanding RM68.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Tambahnya, kekuatan kewangan negeri turut diterjemahkan secara langsung kepada rakyat menerusi pelaksanaan Inisiatif Makmur (IM) Pahang, dengan peruntukan keseluruhan RM173.93 juta sejak 2024 hingga tahun ini.

“Prestasi ekonomi dan sosial serta kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan Kerajaan Negeri terus menyalurkan manfaat secara langsung kepada rakyat di pelbagai lapisan masyarakat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Inisiatif Makmur Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain pada Sidang Dewan Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, daripada keseluruhan peruntukan IM Pahang itu, RM38.80 juta disalurkan pada 2024, diikuti RM50.54 juta pada 2025 dan meningkat kepada RM84.59 juta tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, Pahang turut merekodkan RM11.47 bilion pelaburan komited sehingga Ogos tahun ini, bersamaan 70.85 peratus daripada sasaran RM16.2 bilion.

Katanya, pelaburan yang telah direalisasikan pula berjumlah RM1.044 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan ekonomi negeri.

Jelasnya, prestasi itu turut disokong pertumbuhan ekonomi apabila KDNK Pahang meningkat lebih RM2 bilion dalam tempoh setahun.

Wan Rosdy berkata, agenda `Pahang 1st’ turut memberi impak kepada pembangunan modal insan apabila negeri itu muncul negeri kedua terbaik di Malaysia bagi keputusan SPM 2025, dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 berbanding Gred Purata Kebangsaan 4.42.

Kata beliau, sebanyak 96.52 peratus calon atau 16,822 calon layak menerima sijil, manakala 671 calon memperoleh keputusan semua A.

Lebih membanggakan, ujarnya, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) dinobatkan sebagai sekolah terbaik SPM peringkat kebangsaan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60, manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) mencatatkan GPS 1.06.

“Pahang turut mencatatkan PNGK tertinggi negeri bagi STPM 2025, iaitu 3.09,” katanya.

Dalam aspek kesejahteraan rakyat, Wan Rosdy berkata, kemiskinan tegar berjaya dinoktahkan, manakala kadar kemiskinan berjaya dikurangkan sebanyak 30 peratus setakat pertengahan tahun ini.

Katanya, kadar pengangguran Pahang pada suku kedua 2026 hanya 2.0 peratus, lebih rendah berbanding kadar nasional 3.0 peratus.

“Lebih 300,000 rakyat menerima manfaat bantuan Kerajaan Negeri,” katanya.

Kerajaan negeri turut menyediakan 2,000 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) percuma untuk golongan miskin tegar, selain rumah mampu milik bersubsidi tinggi menerusi PR1MA Pahang dan Rumah Makmur Pahang.

Wan Rosdy berkata, pencapaian itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi negeri bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan melalui pelbagai manfaat yang dapat dirasai rakyat.

Dalam pada itu, Pahang turut muncul negeri dengan tahap perpaduan tertinggi di Malaysia berdasarkan Indeks Perpaduan Malaysia dengan skor 0.817.

Dua bandar di Pahang, iaitu Lipis dan Raub, turut dinobatkan antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2026.

“Kita mahu prestasi ekonomi yang kukuh ini terus diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan modal insan dan peluang ekonomi yang lebih luas untuk seluruh rakyat Pahang,” katanya. – MalysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here