KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.
Ini membabitkan wang tunai dan pelbagai mata wang asing, lima jongkong emas seberat lima kilogram, sekeping perak serta syiling emas.
Ismail Sabri yang tenang sepanjang prosiding hadir mengenakan kemeja putih dan kot hitam sebelum pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham, tidak mengaku salah dan minta dibicarakan,” katanya selepas pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Pertuduhan itu membabitkan wang tunai kira-kira RM14 juta serta mata wang asing terdiri daripada SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, AED34.7 juta dan AUD352,850.
Ahli Parlimen Bera itu didakwa memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Notis itu dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Pesuruhjaya dan lebih tinggi pada 10 Januari 2025.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa tidak mengisytiharkan sejumlah harta seperti yang dikehendaki dalam notis berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 Februari 2025 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.
Sementara itu, lima jongkong emas yang disebut dalam pertuduhan masing-masing mempunyai berat keseluruhan lima kilogram, selain sekeping perak dan syiling emas. -MalaysiaGazette















