KUALA LUMPUR – Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada jam 9.30 malam, 30 Ogos ini dipindahkan dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) susulan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.

Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan berkenaan dibuat sebagai langkah penyesuaian mengambil kira perkembangan semasa, khususnya bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan keselesaan tetamu serta orang ramai, selain menjamin kelancaran majlis.

“Pemindahan lokasi ini tidak menjejaskan pengisian dan semangat sambutan Hari Kebangsaan 2026, sebaliknya merupakan langkah bertanggungjawab bagi memastikan majlis dapat dilaksanakan dalam persekitaran yang lebih terkawal dan selesa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Komunikasi berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan jerebu dan perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa.

Sementara itu, keputusan mengenai pelaksanaan acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan ditentukan berdasarkan penilaian keadaan semasa serta nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan terkini keadaan jerebu serta mendapatkan maklumat dan nasihat kesihatan melalui saluran rasmi KKM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here