Tiga bekas Perdana Menteri berdepan tiga kes mahkamah berbeza di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini, menjadi tumpuan hari ini apabila tiga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi mengikuti prosiding undang-undang membabitkan kes masing-masing.

Ketibaan Ismail Sabri paling mendapat perhatian apabila bekas Perdana Menteri itu hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pertuduhan itu berkait dakwaan gagal mengisytiharkan aset seperti yang dikehendaki undang-undang.

Kehadiran Ismail Sabri hari ini menyusul penangguhan prosiding sebelum ini selepas beliau mengalami masalah kesihatan dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau kemudian menjalani prosedur pemasangan perentak jantung sebelum tarikh baharu pendakwaan ditetapkan.

Kes Ismail Sabri sebelum ini turut mendapat perhatian susulan penyitaan kira-kira RM170 juta wang tunai dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta oleh SPRM.

Sementara itu, Najib dijadualkan hadir di Mahkamah Tinggi bagi meneruskan prosiding saman sivil berbilion ringgit yang difailkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadap beliau dan beberapa defendan lain.

Prosiding itu antara beberapa tindakan undang-undang yang masih berjalan terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.

Muhyiddin pula akan meneruskan perbicaraan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa di Mahkamah Tinggi Khas Rasuah.

Beliau berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.

Tumpuan hari ini bukan sahaja kepada ketiga-tiga tokoh politik itu, malah kepada perkembangan setiap prosiding yang berlangsung di mahkamah berbeza dalam kompleks yang sama.

Kehadiran mereka pada hari yang sama turut menjadikan Jalan Duta antara lokasi tumpuan utama pengamal media dan penyokong yang mengikuti perkembangan kes masing-masing.

Perjalanan setiap prosiding dijangka memberi perkembangan berbeza sepanjang hari ini, bergantung kepada keputusan dan keterangan yang dikemukakan di mahkamah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here