PUTRAJAYA – Dua penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil, Selangor melarikan diri dari pusat berkenaan hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Mior Mohd Nor Azuan Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dua lelaki melarikan diri dari pusat itu pada 8.40 pagi.
“Pihak polis sedang menjalankan usaha mengesan kedua-dua lelaki berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan berkaitan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua-dua individu itu menyalurkan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang melalui talian 03-87774222.
Terdahulu, tular pemakluman dan hebahan keselamatan mengenai kejadian dua penghuni Puspen Dengkil yang melarikan diri dari pusat itu dipercayai dengan menggunakan sebuah kenderaan curi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata kedua-dua lelaki itu melarikan diri dari kawasan PUSPEN Dengkil sebelum mencuri sebuah kenderaan di sebuah kampung berhampiran pusat pemulihan berkenaan.
Bagaimanapun, kenderaan yang dicuri itu berjaya ditemukan AADK di Beranang, Selangor, sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) ntuk tindakan lanjut.
“Usaha mengesan dan menangkap kedua-dua suspek sedang giat dijalankan secara menyeluruh oleh AADK dengan kerjasama PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan dalaman secara menyeluruh turut dijalankan serta-merta bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk meneliti kemungkinan berlaku kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP).
“AADK akan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud kecuaian dalam kalangan kakitangan yang terlibat,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pejabat AADK terdekat atau menyalurkannya menerusi talian hotline TeleHello AADK di 1-800-22-2235 atau WhatsApp di 019-626 2233. – BERNAMA
















