Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melawat tapak pameran Advance Pact selepas Majlis Penutup IMDEC 2026 ketika di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 28 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan nilai eksport peranti teknologi perubatan (MedTech) melepasi RM50 bilion menjelang 2030 dengan aspirasi melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan sebagai juara teknologi perubatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu adalah antara tiga cita-cita utama membawa industri teknologi perubatan negara ke tahap lebih tinggi daripada sekadar kekuatan pembuatan kepada inovasi, pemilikan harta intelek (IP) dan pekerjaan bernilai tinggi.

Beliau berkata, kejayaan industri tidak boleh lagi dinilai hanya berdasarkan jumlah kilang yang dibuka atau nilai pelaburan yang masuk.

Sebaliknya turut berdasarkan jumlah teknologi dan IP yang dibangunkan di Malaysia serta keupayaan syarikat tempatan menjadi pemain global.

“Modal boleh masuk ke Malaysia, tetapi keupayaan mesti kekal di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan International Medical Device Exhibition and Conference (IMDEC) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) hari ini.

Menurutnya, Malaysia sudah mempunyai asas kukuh dengan nilai eksport peranti perubatan mencecah RM34.54 bilion pada 2025 manakala RM4 bilion pelaburan baharu diluluskan menerusi 46 projek yang dijangka mewujudkan hampir 3,400 peluang pekerjaan.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga perlu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus pekerjaan daripada pelaburan baharu sektor MedTech menjelang 2030 terdiri daripada jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan berbanding 33.1 peratus pada 2025.

Beliau berkata, sasaran berkenaan perlu disokong pembangunan bakat lebih awal menerusi kerjasama lebih rapat antara industri, universiti dan institusi TVET termasuk pembentukan program, pendedahan industri dan laluan perantisan.

“Industri tidak seharusnya hanya mengambil bakat yang kita hasilkan. Industri mesti membantu kita menghasilkan bakat yang diperlukan,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bergambar pada Majlis Penutup IMDEC 2026 ketika di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 28 OGOS 2026.

Dalam masa sama, laluan daripada penyelidikan kepada pasaran perlu diperkemaskan bagi memastikan inovasi tempatan dapat dikomersialkan dan dikembangkan peringkat antarabangsa termasuk menerusi jaringan antara inovator, syarikat dan rakan strategik.

IMDEC 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 Ogos lalu menjadi platform penting untuk mempertemukan pemain industri, pengawal selia, penyelidik, pelabur dan profesional kesihatan dari Malaysia serta luar negara.

Penganjuran edisi kali ini menampilkan lebih 160 pempamer dan 50 penceramah antarabangsa serta serantau selain mengetengahkan teknologi peranti perubatan, diagnostik, kesihatan digital dan penyelesaian penjagaan kesihatan masa depan.

Pelbagai program turut berlangsung sepanjang IMDEC 2026 termasuk International Conference for Innovation in Biomedical Engineering and Life Sciences (ICIBEL), Malaysia Pharma & Healthcare Expo (MPHC), INNOMD Innovation Pitching, MEDIC 26 dan Medical Device Regulatory Forum.

Ahmad Zahid berkata, perkembangan industri juga perlu berlandaskan sistem kawal selia yang kukuh bagi memastikan keselamatan pesakit, kebolehpercayaan teknologi dan keyakinan terhadap produk Malaysia terus terpelihara.

Pada masa sama, teknologi perubatan perlu memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman melalui penyelesaian seperti peranti diagnostik mudah alih, platform digital yang menghubungkan pesakit dengan pakar serta teknologi pengesanan penyakit lebih awal.

Beliau mahu Medical Device Authority (MDA), Kementerian Kesihatan, kementerian dan agensi berkaitan, industri serta komuniti penyelidikan mengelakkan pendekatan secara silo dan menterjemahkan tiga cita-cita berkenaan kepada pelan tindakan menuju 2030.

Ahmad Zahid berkata, IMDEC 2026 bukan sekadar penutup sebuah persidangan tetapi perlu menjadi titik permulaan kepada peningkatan aspirasi Malaysia untuk membina industri MedTech yang mampu mencipta nilai ekonomi, teknologi dan manfaat kesihatan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here