GEORGE TOWN – Tujuh individu termasuk sepasang suami isteri ditahan dalam beberapa operasi membanteras pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang sepanjang Ogos ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan lebih RM3 juta.
Katanya, empat suspek termasuk pasangan suami isteri ditahan dalam operasi di Tanjung Tokong antara 15 hingga 16 Ogos lalu.
“Kesemua mereka terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 23 hingga 35 tahun.
“Dalam serbuan itu, kita merampas 38.3 kilogram (kg) serbuk ganja, 11.47kg bunga ganja, 4,004 biji pil Erimin 5, 14kg syabu, 5kg ketamin dan 16kg pil ekstasi yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM1.17 juta.
“Keempat-empat suspek direman selama 13 hari bermula 16 hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Dennis Lim berkata, dalam dua operasi berasingan di Butterworth pada 15 dan 19 Ogos lalu, polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 23 dan 46 tahun.
“Dalam operasi pertama kira-kira jam 6 petang pada 15 Ogos, polis merampas serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat kira-kira 3kg bernilai lebih RM450,000, manakala tangkapan kedua kira-kira jam 10 malam pada 19 Ogos membawa kepada rampasan 1.3kg serbuk MDMA bernilai lebih RM10,000.
“Suspek pertama direman selama lima hari bermula 16 hingga 20 Ogos sebelum dijamin atas arahan timbalan pendakwa raya sehingga laporan kimia diperoleh, manakala suspek kedua direman enam hari bermula 20 hingga 25 Ogos,” katanya.
Tambah beliau, dalam operasi pada 22 Ogos lalu pula, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan di Bukit Mertajam kira-kira jam 10.50 malam sebelum merampas 8.4kg serbuk MDMA, 1,755 pil ekstasi, 1,000 pil Erimin 5, 0.63kg ketamin dan sembilan katrij cecair syabu dalam operasi itu.
“Nilai keseluruhan rampasan melebihi RM1.38 juta dan suspek direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya. – MalaysiaGazette
















