KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Halal & Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH) menerima National Halal Policy Leadership Award 2026 pada World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) 2026 di sini baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut merupakan sebahagian daripada rangkaian program World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX 2026) yang berlangsung pada 21 hingga 23 Ogos lalu di World Trade Centre Kuala Lumpur.
WITEX 2026 merupakan edisi keempat dan dianjurkan oleh Malaysia Tourism Agency Association (MATA) sebagai platform antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, pemain industri, pelabur dan pemegang taruh dalam sektor pelancongan Islam, perdagangan dan ekonomi halal.
Kemuncak program ialah World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) 2026 Gala Dinner yang menghimpunkan pengiktirafan kepada tokoh, organisasi dan pemain industri yang menunjukkan kecemerlangan, inovasi dan kepimpinan dalam ekosistem pelancongan Islam dan ekonomi berkaitan.
“Penerimaan National Halal Policy Leadership Award 2026 meletakkan MEH dalam konteks yang lebih besar — bukan sekadar sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan kepentingan ekonomi halal, tetapi sebagai sebuah badan yang membawa agenda dasar dan pembangunan ekosistem halal yang berimpak nasional.
“Lebih penting, MEH merupakan antara pihak yang mencadangkan kepada kerajaan supaya Dasar Halal Negara dibangunkan sebagai satu dasar nasional yang lebih menyeluruh dan bersepadu, dengan melihat halal bukan sekadar isu pensijilan tetapi sebagai satu agenda pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan ummah,” katanya dalam kenyataan.
Cadangan tersebut mencerminkan pendirian MEH bahawa kekuatan Malaysia dalam halal perlu diterjemahkan daripada dasar kepada pembangunan industri, penciptaan nilai, pelaburan, inovasi dan peluang ekonomi kepada rakyat.
Bagi MEH, ekonomi halal tidak boleh lagi dilihat hanya daripada perspektif pensijilan atau perdagangan produk halal sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai rantaian nilai ekonomi nasional yang menghubungkan dasar, industrim teknologi, keterjaminan makanan, keusahawanan, pelaburan dan ummah.
Atas pendekatan tersebut, MEH terus memperjuangkan agenda Dasar Halal Negara 2025–2035 di samping membangunkan pelbagai inisiatif strategik yang berkaitan dengan keterjaminan makanan, ekonomi digital, teknologi dan pembangunan ummah.
Antaranya termasuk Halal Food Security Roadmap 2026–2036, Halal Rahmah, Qurban Rahmah 2027 serta agenda Halal Digital Economy & AI.
MEH juga melihat teknologi digital dan blockchain sebagai instrumen penting untuk membina ekosistem halal yang lebih telus, boleh dijejak, diyakini dan berasaskan data. – MalaysiaGazette
















