KUALA LUMPUR – Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) mencatat pencapaian mengendalikan 100,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam tempoh hanya 4.5 bulan sejak beroperasi sepenuhnya.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pencapaian itu membuktikan potensi PIP sebagai komponen penting dalam ekosistem logistik negara dan pemacu pertumbuhan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Beliau berkata, infrastruktur Fasa 1 PIP mempunyai kapasiti sehingga 300,000 TEU setahun, dengan operasi dari Terminal Kontena Padang Besar dipindahkan secara berperingkat ke PIP bagi menampung peningkatan pergerakan kargo dari selatan Thailand dan rantau ASEAN.
“Pencapaian 100,000 TEU dalam tempoh hanya 4.5 bulan menunjukkan potensi besar PIP sebagai pintu masuk strategik perdagangan rentas sempadan negara.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan kelebihan lokasi Perlis ini diterjemahkan kepada kos logistik yang lebih kompetitif, pelaburan bernilai tinggi dan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya ketika mengadakan lawatan ke PIP hari ini.
Akmal Nasrullah berkata rangkaian rel, jalan raya dan pelabuhan yang saling berhubung turut berpotensi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau serta menyediakan akses lebih cekap ke pasaran ASEAN, China dan rantau lebih luas.
Dalam lawatan itu, beliau turut diberikan taklimat mengenai perancangan peluasan PIP termasuk pembangunan On-Dock Depot, peluasan kawasan kontena dan peningkatan perkhidmatan pengendalian kargo bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Perkhidmatan rel harian STC dari Perai ke PIP yang beroperasi sejak Disember 2025 turut memperkukuh integrasi pengangkutan multimodal dan menyediakan pilihan pengendalian kargo lebih pantas serta cekap.
PIP juga melengkapi rangkaian nod ekonomi dan logistik utama di utara Semenanjung, termasuk Bukit Kayu Hitam Inland Clearance Depot (BKH ICD), Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Kedah Rubber City (KRC) dan Kedah Science & Technology Park (KSTP).
Akmal Nasrullah berkata, integrasi berkenaan penting bagi merealisasikan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand (MY-TH BEZ) serta meningkatkan aktiviti perdagangan rentas sempadan.
Hubungan PIP dengan Pelabuhan Pulau Pinang dan Belawan New Container Terminal (BNCT) di Indonesia pula mewujudkan koridor logistik sepanjang 388 kilometer yang menghubungkan Indonesia, Malaysia dan Thailand.
Katanya, koridor itu berpotensi mengurangkan kos serta tempoh transit barangan berbanding laluan konvensional selain memperkukuh kesalinghubungan rantaian bekalan serantau.
Pembangunan PIP turut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat dengan potensi mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan. – MalaysiaGazette
















