KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak wajar diberi mandat mengulangi fungsi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat pengurusan dan operasi Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, PAC juga tidak boleh menjadi pengganti kepada Audit Forensik atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut beliau, PAC merupakan badan pengawasan Parlimen, bukan badan penyiasat jenayah atau mahkamah.
“PAC perlu berhati-hati agar prosidingnya tidak mengganggu siasatan pihak berkuasa yang dikhuatiri menyebabkan berlaku lencongan terhadap siasatan.
“Ia dikhuatiri membuka ruang kepada pihak tertentu menggunakan proses pendengaran PAC sebagai taktik untuk melengah-lengahkan siasatan atau tindakan undang-undang.
“Tidak perlu jadi RCI kedua, Jabatan Audit Negara kedua atau PwC kedua. Selaku badan pengawasan Parlimen, PAC perlu mengawasi,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook.

Pada 25 Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PAC lebih sesuai menyiasat pengurusan TH berbanding penubuhan RCI baharu.
Beliau berkata, PAC boleh menubuhkan satu badan khas di bawah tanggungjawabnya bagi meneliti pengurusan TH dari 2017 hingga kini, termasuk sebarang dakwaan salah urus yang timbul.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, RCI telah pun melaksanakan mandatnya dengan melakukan siasatan bagi tempoh 2014 hingga 2020 termasuk meneliti fakta, dokumen, keputusan dan aspek tadbir urus serta menghasilkan laporan 211 halaman dengan 25 syor.
Menurut beliau, JAN pula telah menjalankan fungsi audit terhadap penyata kewangan TH yang mana dapatan audit 2017 menunjukkan kegagalan merekodkan RM227.81 juta rosot nilai, termasuk RM164.58 juta melibatkan TH Heavy Engineering, selain isu perubahan polisi rosot nilai yang berlaku beberapa kali.
“PwC telah pun mengenal pasti, antara lain, isu rosot nilai pelaburan dalam syarikat bersekutu, pelaburan dan pembiayaan kepada anak syarikat, instrumen pendapatan tetap serta isu nilai saksama pelaburan hartanah.
“Oleh itu, PAC tidak wajar mengambil alih atau menggantikan fungsi audit forensik yang memerlukan kepakaran, metodologi dan mandat khusus,” ujarnya.
Tun Faisal seterusnya menyatakan, PAC juga tidak boleh menggantikan SPRM yang mempunyai mandat menyiasat rasuah, salah guna kuasa dan kesalahan lain dalam bidang kuasanya, manakala mahkamah mempunyai kuasa menentukan kesalahan dan liabiliti berdasarkan undang-undang serta bukti.
Tegas beliau, peranan PAC adalah memastikan 25 syor RCI dilaksanakan dan menuntut jawapan yang jelas daripada kerajaan.
“Apakah status pelaksanaan setiap 25 syor RCI? Tindakan pembetulan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan TH?
“Apakah kelemahan tadbir urus yang telah diperbaiki? Siapa yang bertanggungjawab memastikan setiap syor dilaksanakan dan apakah tindakan susulan terhadap perkara yang memerlukan siasatan atau tindakan undang-undang?
“Kerajaan mesti melaksanakannya. Pihak berkuasa mesti menyiasat berdasarkan bidang kuasa masing-masing manakala mahkamah menentukan kesalahan serta liabiliti berdasarkan undang-undang dan bukti,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















