BATU PAHAT – Pekebun kecil harus membuat persiapan rapi menghadapi kesan akibat musim panas yang dijangka berpanjangan sehingga Oktober ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bagi mengatasi kesan itu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pelbagai agensi lain sudah menyediakan khidmat nasihat kepada mereka.
Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, tujuannnya supaya pekebun-pekebun kecil dapat mengelakkan tanaman daripada terjejas akibat kepanasan melampau.
“Kita percaya bahawa semua pekebun kecil telah sedia maklum dengan fenomena ini dan menyediakan persediaan rapi melalui nasihat diberikan oleh agensi-agensi terlibat.
“Kita juga mahukan pekebun sentiasa berhubung dengan kementerian untuk memaklumkan situasi semasa berkaitan kebun masing-masing sekiranya berlaku sebarang impak daripada kesan musim panas ini,” katanya.
Noraini berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian Kampung Angkat Madani di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi di Kampung Parit Warijo di Sri Medan di sini, hari ini.
Katanya, semua agensi dalam kementerian terbabit sudah bersedia untuk memberikan bantuan sewajarnya sekiranya ada pekebun yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan perkara semasa ini.
Mengulas program Kampung Angkat Madani tersebut, beliau berkata, ia bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar yang dilaksanakan melalui pendekatan keseluruhan kerajaan.
Ujarnya, setiap kampung mempunyai keperluan berbeza dan perlu dilakukan dengan turun padang untuk melihat sendiri apa yang diperlukan agar tiada perkara berkaitan kebajikan masyarakat kampung ketinggalan.
“Sebanyak RM590,000 diperuntukkan bagi melaksanakan projek fizikal dan program pembangunan masyarakat di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, ini termasuk menaik taraf Surau Kampung Parit Basri Laut, penambahbaikan balai raya serta membaik pulih rumah secara kecil-kecilan dengan kerjasama Giat Mara Parit Sulong. – MalaysiaGazette
















