Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Keputusan Pahang menolak keperluan mengadakan siasatan awam sebelum sesuatu hutan simpan kekal dinyahwarta sudah diteliti menerusi pelbagai aspek.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pengurusan tanah dan hutan di negeri ini merupakan hak kerajaan negeri dan ia dilakukan dengan baik ketika ini.

“Bukan Pahang sahaja yang tolak siasatan awam, negeri lain pun ada yang begitu. Bagaimanapun, Pahang bukan membuat keputusan itu kerana mengikuti mereka (negeri lain).

“Pahang melihat bahawa tanah dan hutan adalah merupakan perihal kerajaan negeri. Jadi, elok kerajaan negeri yang menguruskannya. Lagipun, kita ada syarat-syarat tertentu. Setakat ini, ia diurus dengan baik,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau mengulas keputusan Pahang tidak menerima pakai dua perlindungan utama di bawah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, iaitu kewajipan mengadakan siasatan awam dan menyediakan tanah ganti sebelum sesuatu kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dikeluarkan.

Sebagai rekod, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis lepas meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi menerima pakai pindaan Persekutuan itu dalam Undang-Undang Perhutanan Negeri, tetapi mengecualikan Seksyen 11 dan Seksyen 12.

Seksyen 11 mewajibkan pihak berkuasa negeri mengadakan siasatan awam sebelum mengeluarkan mana-mana tanah daripada HSK, manakala Seksyen 12 pula menetapkan kawasan sama luas atau lebih luas perlu dikenal pasti untuk diwartakan sebagai tanah ganti.

Wan Rosdy ketika sidang DUN dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan mahu negeri mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah sebagai kawasan berhutan, namun Pahang jauh melepasi penanda aras itu dengan 57.7 peratus.

Tiga negeri lain yang mengambil langkah sama ialah Kelantan, Negeri Sembilan dan Perak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here