KUALA LUMPUR – Pertikaian mengenai kesahihan acara golf yang disertai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin enam tahun lalu, disahkan hari ini apabila Mahkamah Tinggi diberitahu terdapat invois yang didaftarkan atas nama beliau berdasarkan semakan dalam sistem pendaftaran.
Ketua Keselamatan Kumpulan Tropicana Golf & Country Resort (TGCR), S. Saravanan, 56, berkata, semakan menunjukkan bekas Perdana Menteri merupakan antara pemain yang namanya didaftar dan dimasukkan dalam `Green Fee Tags’ pada 19 Julai 2020.
Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata, `Green Fee Tags’ juga terdapat catatan `Present upon request by starter/marshall’ yang menunjukkan dokumen itu perlu dikemukakan apabila diminta oleh pegawai pelepas permainan (starter) atau marshal di
padang golf.
Menurut bekas anggota polis itu, keseluruhan 15 pemain menyertai acara itu dan dibahagikan kepada empat `flight’ (kumpulan) termasuk Muhyiddin manakala invois yang dikeluarkan, dibayar sepenuhnya oleh kelab golf tersebut.
Saravanan berkata, acara tersebut mungkin perlawanan persahabatan kerana kejohanan selalunya melebihi 20 `flight’ dengan jumlah pemain di antara 40 hingga 260 orang.
“Walaupun, pada invois hanya tertera nama empat pemain, tetapi apabila disemak dalam sistem, jumlah keseluruhan pemain adalah 15 orang,” ujarnya ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan kes Janawibawa.
Isu mengenai kesahihan penyertaan Muhyiddin pada acara itu dibangkitkan oleh pasukan pembelaan ketika menyoal balas saksi pendakwaan ke-27, Datuk Seri Azman Yusoff.
Pada prosiding 27 Ogos lalu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mempertikai keterangan Azman yang pada awalnya menyatakan, acara tersebut dijalankan pada Mei 2020.
Menurut peguam, tarikh itu tidak munasabah kerana ketika itu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak memungkinkan sebarang kejohanan sukan diadakan.
Azman yang juga Pengarah KCJ Engineering Sdn. Bhd. kemudian bersetuju bahawa tiada kejohanan dijalankan pada bulan tersebut (Mei 2020).
Azman bagaimanapun berkata, beliau kemudian meminda pernyataan saksi dengan mengubah tarikh kepada Julai 2020, selepas berkunjung sendiri ke TGCR untuk mengesahkannya.
Dalam keterangannya, Azman turut berkata, beliau bertemu Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewaktu menyertai kejohanan golf itu untuk meninjau peluang perolehan projek kerajaan.
Katanya, Muhyiddin selanjutnya meminta beliau mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Program Janawibawa daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dengan bertemu pegawai yang berkaitan.
“Pada pertemuan itu, Tan Sri Muhyiddin juga ada menyatakan secara spontan kepada saya, jika terdapat kontraktor yang ingin membuat sumbangan, boleh sumbangkan terus kepada Bersatu dan bukannya kepada mana-mana individu di dalam parti,” ujarnya.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Chetan Jethwani, Saravanan berkata, meskipun saksi bertugas di kelab golf itu selepas empat bulan acara berlangsung, dia boleh mengesahkan penyertaan Muhyiddin berdasarkan semakan sistem.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat memaklumkan, pihak pendakwaan tidak akan memanggil ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, sebaliknya akan ditawarkan sebagai saksi pembelaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette
















