GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyita dan menutup tiga premis perniagaan yang dikendalikan warga asing di Jalan Macalister di sini, hari ini.
Tindakan itu adalah penguatkuasaan ulangan susulan operasi yang dilaksanakan di lokasi sama pada 15 November dan 2 Disember 2025 serta 24 Februari lalu.
Datuk Bandaraya Pulau Pinang, Datuk A. Rajendran berkata, tindakan terbaharu itu membabitkan Suhailee Enterprise di No.1, 1A dan 1B, Jalan Macalister; Z.Hoque Distributors Sdn Bhd di 1E dan 1F, Jalan Macalister serta Syafi Mahmud Mini Mart di No.3, Jalan Macalister.
“Dalam operasi tersebut, tindakan rampasan dan sitaan premis dilaksanakan di bawah peruntukan Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan termasuk rampasan barangan perniagaan dan sitaan premis berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan, antaranya Undang-Undang Kecil Establisyment Makanan MPPP 1991, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Tindakan penguatkuasaan di lokasi sama sebelum ini termasuk rampasan barangan perniagaan, khususnya barangan basah, yang dilupuskan serta-merta mengikut prosedur dan tidak dikembalikan kepada peniaga,” katanya di sini.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa cakna, tegas dan konsisten dalam menangani aktiviti perniagaan yang dikendalikan warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang, syarat pelesenan dan peraturan ditetapkan.
“Setiap tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah berdasarkan SOP sedia ada serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan tindakan sewajarnya akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, Rajendran menegaskan MBPP merekodkan 703 tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan yang dikendalikan warga asing dari 2022 hingga tahun ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 37 tindakan direkodkan pada 2022, 127 pada 2023, 212 pada 2024, 263 pada 2025 dan 64 tindakan setakat tahun ini,” katanya.
Pada 30 Ogos lalu, tular rakaman video menerusi TikTok oleh aktivis yang dikenali sebagai Surplus, yang melaporkan beberapa premis dikendalikan warga asing menjalankan kegiatan penyembelihan yang dipercayai melanggar syarat lesen. – MalaysiaGazette
















