KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines menyambung semula penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Fukuoka, Jepun, sekali gus memperkukuh rangkaian penerbangannya di negara berkenaan dan menawarkan satu-satunya perkhidmatan terus antara Kuala Lumpur dan Fukuoka.
Penerbangan sulung MH56 berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.45 malam, 2 September lalu dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka pada 7.05 pagi hari ini.
Penerbangan menggunakan pesawat Boeing 737-8 itu mencatatkan faktor muatan sebanyak 88 peratus bagi penerbangan pergi, manakala penerbangan pulang MH57 merekodkan 90 peratus.
Malaysia Aviation Group (MAG) dalam kenyataan berkata, penerbangan berkenaan akan beroperasi sehingga lima kali seminggu, menyediakan akses lebih mudah ke wilayah Kyushu yang terkenal dengan kepelbagaian budaya, makanan dan tarikan pelancongan.
Menurutnya, penerbangan itu melengkapkan perkhidmatan sedia ada Malaysia Airlines ke Tokyo menerusi Narita dan Osaka, menjadikan jumlah kekerapan penerbangan syarikat itu ke Jepun sebanyak 26 penerbangan seminggu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar serta Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Syarikat Penerbangan MAG, Bryan Foong hadir pada majlis sambutan penerbangan sulung di Kuala Lumpur bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.
Ketibaan pesawat di Fukuoka disambut dengan tabik hormat pancutan air, selain satu majlis khas yang dianjurkan bersama Fukuoka International Airport Co., Ltd. (FIAC).
Majlis itu turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Jepun yang dilantik, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani; Ketua Pegawai Strategi Kumpulan MAG, Low Wen Long dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif FIAC, Shinji Tagawa.
Malaysia Airlines berkata, melalui kerjasama perniagaan bersama Japan Airlines, penumpang yang tiba di Fukuoka boleh membuat sambungan penerbangan domestik yang dikendalikan Japan Airlines ke beberapa destinasi termasuk Amami, Sapporo, Izumo, Kochi, Miyazaki, Kagoshima, Yakushima, Matsuyama dan Tokushima.
Dalam masa sama, Japan Airlines turut meletakkan kodnya pada penerbangan Malaysia Airlines antara Kuala Lumpur dan Fukuoka, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan serta pengalaman tempahan yang lancar.
Bagi pelancong dari Jepun, laluan itu turut menyediakan sambungan menerusi Kuala Lumpur ke destinasi di Malaysia, ASEAN, Asia Selatan dan Australasia, selain menyokong sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sempena penyambungan semula laluan itu, penumpang boleh menikmati penjimatan sehingga 30 peratus menerusi promosi MATTA Fair bagi tempahan yang dibuat sehingga 14 September ini.
Ahli Enrich pula boleh menikmati tambahan diskaun lima peratus, manakala pembayaran menggunakan kad VISA melalui laman sesawang rasmi atau aplikasi mudah alih Malaysia Airlines layak mendapat tambahan diskaun lima peratus. – MalaysiaGazette
















