KUALA LUMPUR – Tiga pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang semalam atas kesalahan menggunakan lambang pertubuhan tanpa kelulusan Pendaftar.
Ketiga-tiga mereka didakwa di bawah subseksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 jika disabitkan kesalahan.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman denda RM600 terhadap setiap tertuduh atau penjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi.
Pendakwaan itu susulan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Putrajaya dan JPPM Pulau Pinang dengan kerjasama pegawai penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Pulau Pinang pada 27 Ogos 2026.
JPPM mengingatkan semua pertubuhan bahawa penggunaan lambang, simbol, tanda, papan tanda atau pakaian berkaitan pertubuhan hendaklah mendapat kelulusan Pendaftar sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Pertubuhan 1966. – MalaysiaGazette
















