SHAH ALAM – Kes membabitkan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Adi Azwan Abdul Gani, ditangguhkan ke 24 September selepas mahkamah dimaklumkan beliau masih menjalani rawatan berkaitan jantung di hospital.
Peguamnya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata, anak guamnya kini menjalani angiogram di Hospital Universiti Malaya (UMNC), dengan kemungkinan angioplasti bergantung kepada keputusan pemeriksaan berkenaan.
Menurutnya, Adi Azwan dimasukkan ke hospital selepas mengalami sakit dada yang semakin kerap dan sejak itu menjalani beberapa pemeriksaan termasuk ECG.
“Kita baru menerima kertas pertuduhan dan masih menunggu dokumentasi lengkap untuk diteliti. Apa yang boleh saya sahkan, terdapat tiga pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan ia berkaitan kejadian yang didakwa berlaku kira-kira sembilan tahun lalu.
“Pagi ini anak guam saya sedang menjalani angiogram. Selepas keputusan itu, doktor akan menentukan sama ada dia memerlukan angioplasti atau rawatan lanjut.
“Kita berharap, insya-Allah, beliau dapat pulih dalam tempoh kira-kira tiga minggu dan kita akan terus mengemas kini mahkamah mengenai perkembangan rawatannya.
“Pada saya, hakim telah bertindak adil dan menunjukkan belas ihsan dengan mengambil kira keadaan kesihatan anak guam saya,” katanya kepada media selepas prosiding di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.
Wan Azwan enggan mengesahkan sama ada pertuduhan berkenaan mempunyai kaitan dengan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang menjadi fokus siasatan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, pihak pembelaan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkaitan untuk menjelaskannya.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan Adi Azwan dimasukkan ke hospital sejak 31 Ogos lalu selepas mengalami masalah berkaitan jantung.
Isterinya, Zurren Zainuddin, turut hadir di mahkamah dan memberikan penjelasan mengenai keadaan kesihatan suaminya.

Mahkamah turut meneliti surat daripada pakar kardiologi yang menyatakan Adi Azwan masih tidak sesuai untuk discaj.
Hakim kemudian menerima penjelasan berkenaan dan berpandangan prosiding tidak sesuai diteruskan ketika individu terbabit masih menjalani rawatan di hospital.
“Biarlah dia berehat buat sementara waktu,” kata hakim.
Mahkamah menetapkan 24 September sebagai tarikh sebutan semula kes.
Adi Azwan dijadualkan berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang berkaitan penjawat awam memperoleh sesuatu yang bernilai daripada seseorang yang mempunyai urusan dengan tugas rasminya.
Beliau sebelum ini pernah direman selama empat hari pada 2018 bagi membantu siasatan berhubung penggunaan kontraktor reka bentuk dalaman yang mempunyai kaitan dengan TH untuk membina kabinet di kediamannya. – MalaysiaGazette
















