MELAKA – Golongan muda di negeri ini bukan sahaja dianggap sebagai pemimpin masa depan, malah perlu diberikan ruang terlibat dalam proses membuat keputusan dan pembangunan kerajaan pada masa ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peluang dan pendedahan perlu diberikan lebih awal supaya mereka mempunyai pengalaman mencukupi untuk menjadi barisan kepimpinan negeri pada masa hadapan.
Menurutnya, perjalanan untuk menjadi seorang pemimpin memerlukan proses yang panjang selain pengalaman dalam memahami pentadbiran serta keperluan rakyat.
“Kalau mahu menjadi seperti saya, perjalanannya jauh, saya sudah berumur 65 tahun dan diberikan peluang berada di pentas pentadbiran ketika berusia 60 tahun.
“Saya bukan seorang yang pandai, tetapi pengalaman mengajar saya untuk berada di sini,” katanya dalam sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka dengan kerjasama MalaysiaGazette sempena Karnival Anak Melaka Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang mahasiswa mengenai langkah yang perlu dilakukan supaya anak muda tidak hanya dianggap sebagai masa depan negeri, sebaliknya turut dilibatkan sebagai pembuat keputusan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri telah menyediakan platform seperti Dewan Belia bagi memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai peranan wakil rakyat dan proses pembentukan dasar.
Katanya, menerusi platform berkenaan, peserta diberikan peluang membahaskan dasar kerajaan serta menyuarakan pandangan berkaitan isu yang melibatkan kepentingan generasi muda.
“Kita asuh mereka menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Belia yang turut membahaskan dasar-dasar kerajaan bagi menimba pengalaman.
“Apabila tiba masanya nanti, mereka boleh menggantikan tempat pemimpin dan wakil rakyat yang ada hari ini,” katanya.
Jelas beliau, ruang kepada anak muda bukan sahaja disediakan dalam bidang pekerjaan dan keusahawanan, malah turut merangkumi pentadbiran serta kepimpinan negeri.
Tambahnya, usaha itu penting bagi memastikan Melaka mempunyai barisan pelapis yang berpengalaman, berwibawa dan memahami aspirasi rakyat. – MalaysiaGazette
















