Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2026

PENGKALAN CHEPA – Amerika Syarikat (AS) pernah bertanya sama ada Pas merancang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Pas menegaskan tidak mahu campur tangan kuasa asing dalam politik negara, kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung Pas itu berkata, perkara itu berlaku ketika kunjungan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Barack Obama ke Malaysia dan beberapa wakil pembangkang dijemput menghadiri majlis minum petang di Kedutaan AS.

Katanya, dalam pertemuan berkenaan, wakil kedutaan AS bertanya sama ada Pas mempunyai perancangan untuk menjatuhkan kerajaan BN pada ketika itu.

“Antara perkara yang ditanya oleh wakil kedutaan ialah sama ada Pas merancang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pada masa itu.

“Kami tidak memberikan apa-apa keputusan kerana kita tidak mengharapkan campur tangan daripada negara-negara luar. Politik negara kita, negara kitalah, tidak boleh ada campur tangan luar,” katanya pada sidang media selepas Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan terdapat pertemuan Presiden AS dengan pembangkang ketika itu.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini mendedahkan AS pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pemerintahan negara.

Menurut Abdul Hadi, perkara itu berlaku ketika lawatan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia, apabila beberapa pemimpin Pas ketika itu dijemput bertemu di Kedutaan AS.

Katanya, Takiyuddin dan Dr. Samsuri Mokhtar yang merupakan ketua politiknya ketika itu telah pergi ke kedutaan berkenaan untuk mengadakan pertemuan.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, Pas pada masa itu memilih untuk tidak menerima sebarang bentuk campur tangan asing bagi menentukan hala tuju politik negara.

“Kalau parti lain hendak campur tangan luar untuk menjatuhkan (kerajaan), itu ikut merekalah. Kami tidak,”katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here