[GAMBAR FAIL] Bakal-bakal jemaah haji yang hadir pada Majlis Perasmian Khusus Perdana Haji 1447H bersamaan dengan 2026M di Masjid Tuanku Zainal Abidin, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 04 APRIL 2026.

ALHAMDULILLAH, musim Haji tahun ini telah melabuhkan tirainya beberapa bulan yang lepas. Kepulangan para tetamu Allah SWT dari Tanah Suci membawa bersama ribuan kisah yang penuh makna, iaitu tentang doa yang dipanjatkan bertahun-tahun, penantian yang panjang, pengorbanan yang dilakukan dengan penuh sabar serta rasa syukur apabila impian akhirnya menjadi kenyataan.

Bagi umat Islam, haji bukan sekadar sebuah perjalanan ke destinasi yang suci. Ia merupakan perjalanan yang melibatkan hati, pengorbanan dan persediaan diri. Ia adalah perjalanan yang memerlukan seseorang Muslim menyusun kehidupan dengan sebaiknya agar mampu menyahut seruan Allah SWT apabila tiba waktunya.

Jika kita mendengar kisah-kisah jemaah Haji, kita akan mendapati bahawa setiap daripada mereka mempunyai perjalanan yang berbeza. Ada yang mengumpul simpanan selama bertahun-tahun daripada hasil pekerjaan harian. Ada yang menyimpan sedikit demi sedikit daripada pendapatan kecil hasil berniaga, bertani, bekerja sendiri atau melakukan pelbagai usaha untuk mencapai impian menjadi tetamu Allah SWT.

Kisah-kisah ini menunjukkan bahawa perjalanan menuju Baitullah tidak semestinya bermula dengan kemampuan yang besar, tetapi sering kali bermula dengan kesungguhan yang kecil namun dilakukan secara berterusan.

Sebagai refleksi peribadi, perjalanan menuju Baitullah juga mempunyai makna yang sangat dekat dalam kehidupan saya. Antara khidmat bakti yang paling saya hargai ialah usaha membantu ibu merealisasi impiannya untuk menunaikan haji. Melihat insan yang saya kasihi berpeluang menjadi tetamu Allah SWT merupakan satu nikmat dan pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Inilah hakikat istito’ah yang sering disebut dalam konteks ibadah Haji. Kemampuan untuk menunaikan haji bukan hanya dinilai melalui aspek kewangan semata-mata, tetapi merangkumi kesiapsiagaan secara menyeluruh termasuk kesihatan, ilmu, keselamatan perjalanan serta kekuatan rohani.

Dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, persediaan untuk menunaikan Haji menjadi semakin penting. Perubahan ekonomi global, peningkatan kos perjalanan serta pelbagai faktor lain menjadikan budaya merancang lebih awal sesuatu yang wajar diberi perhatian.

Namun, persediaan haji tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang terlalu sukar atau hanya mampu dilakukan oleh golongan tertentu. Sebaliknya, ia boleh dimulakan melalui langkah-langkah kecil yang dilakukan secara istiqamah.

Menyimpan secara konsisten mengikut kemampuan, mengurus kewangan dengan lebih berhemah dan mempunyai sasaran jangka panjang merupakan sebahagian daripada usaha seorang Muslim dalam mempersiapkan diri menuju perjalanan yang mulia ini.h

Dalam kehidupan, banyak kejayaan besar terhasil daripada amalan kecil yang dilakukan secara berterusan. Begitu juga dengan perjalanan menuju haji. Sedikit demi sedikit usaha yang dilakukan hari ini boleh menjadi bekalan penting untuk merealisasikan impian pada masa hadapan.

Selain aspek kewangan, bakal jemaah juga perlu memberikan perhatian terhadap persediaan fizikal dan mental. Ibadah haji memerlukan kekuatan tubuh badan, kesabaran yang tinggi serta kefahaman yang baik terhadap pelaksanaan ibadah. Persediaan ilmu dan penjagaan kesihatan merupakan tanda kesungguhan seseorang dalam menghormati perjalanan suci yang bakal dilalui.

Pada akhirnya, haji mengajar kita bahawa setiap perjalanan menuju Allah SWT memerlukan pengorbanan dan keikhlasan. Ia bukan hanya tentang sampai ke Tanah Suci, tetapi tentang bagaimana seseorang mempersiapkan diri untuk menjadi tetamu-Nya.

Semoga umat Islam terus memandang haji sebagai sebuah perjalanan kehidupan yang perlu dirancang dan diusahakan. Bukan hanya menunggu apabila peluang tiba, tetapi berusaha menyediakan diri sejak awal dengan penuh kesabaran dan istiqamah.

Kerana perjalanan teragung menuju Baitullah sering kali bermula dengan satu niat yang ikhlas, satu usaha yang kecil dan satu langkah yang dilakukan dengan penuh keyakinan.

Namun, setiap perjalanan menuju Baitullah mempunyai waktunya yang tersendiri. Setelah berusaha membantu memenuhi impian ibu, kini tiba pula masanya untuk saya memulakan langkah dalam menyahut panggilan suci ini. Semoga setiap niat dan usaha kecil yang bermula hari ini menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju jemputan Allah SWT pada masa hadapan.

Prof Madya Dr. Nasirin Abdillah,
Pensyarah,
Kolej Pengajian Seni Kreatif, Fakulti Filem, Teater dan Animasi,  Universiti Teknologi MARA.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here