Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan ucapan pada program Townhall Anak Muda Melaka di MITC, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 05 SEPTEMBER 2026.

 

MELAKA – Lagu ‘Budak Melaka’ dicipta khas sebagai hadiah kepada generasi baharu negeri ini dan tidak mempunyai kaitan dengan promosi sektor pelancongan Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, lagu berkenaan membawa mesej penuh semangat serta aspirasi masa depan yang sesuai dengan jiwa golongan muda.

Menurut beliau, karya itu juga dihasilkan untuk menjadi penghubung antara anak muda hari ini dengan masa depan yang bakal mereka corakkan.

“Lagu ‘Budak Melaka’ diciptakan khas untuk anak muda Melaka dan tiada kaitan dengan pelancongan negeri.

“Lagu ini dicipta untuk generasi baharu serta sesuai dengan orang muda, jadi, kepada orang muda, inilah lagu yang saya hadiahkan kepada anda semua kerana lagu ini adalah jambatan masa depan anda,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian ketika menjawab pertanyaan moderator, Haslina AR Kamarudin yang juga Editor MalaysiaGazette mengenai lagu berkenaan yang semakin mendapat perhatian dan dianggap ‘menghantui’ pendengar dengan rentak penuh semangat.

Ab Rauf menyertai sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka dengan kerjasama MalaysiaGazette sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Lagu ‘Budak Melaka’ kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, kerana menampilkan identiti dan semangat kebanggaan sebagai anak negeri itu.

Karya berkenaan turut dilihat mampu menjadi pembakar semangat kepada anak muda supaya lebih yakin memainkan peranan dalam mencorakkan pembangunan dan masa depan Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here