Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR –  Peralihan sokongan sebahagian pengundi Cina daripada DAP dan Pakatan Harapan (PH) kepada Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai kaitan dengan tahap kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan mentadbir, khususnya berdasarkan perkembangan di Johor.

Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong, berkata bagaimanapun punca sebenar perubahan kecenderungan itu masih dalam kajian dan memerlukan penelitian lebih mendalam.

Menurutnya, antara corak yang sedang diperhatikan ialah kecenderungan sebahagian pengundi untuk tidak lagi memilih PH, yang dalam konteks tertentu diterjemahkan kepada sokongan terhadap BN.

“Apabila mereka tidak mengundi PH, maksudnya mereka mengundi BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu Dalam Naratif PN-BN”, yang dikendalikan penganalisis politik, Dr. Armin Baniaz Pahamin, di sini hari ini.

Neow berkata, perkembangan di Johor antara contoh yang perlu diteliti secara objektif, terutama berkaitan agenda tadbir urus (governance) dan tahap kepercayaan pengundi terhadap kerajaan negeri.

Katanya, faktor tadbir urus berpotensi memainkan peranan dalam membentuk perubahan sokongan politik, namun tidak wajar membuat kesimpulan terburu-buru mengenai punca sebenar peralihan berkenaan.

“Puncanya masih kita kaji. Kita perlu melihat keseluruhan isu secara objektif sebelum boleh menentukan apa yang menyebabkan perubahan sokongan ini,” ujarnya.

Beliau berkata, perubahan corak pengundian itu perlu dianalisis berdasarkan konteks setiap kawasan dan bukan semata-mata dianggap sebagai penolakan pengundi terhadap sesebuah parti.

Menurutnya, prestasi kerajaan negeri serta tahap keyakinan pengundi terhadap pentadbiran antara perkara yang wajar diberi perhatian dalam memahami perubahan kecenderungan tersebut.

Neow berkata kajian lebih mendalam juga diperlukan untuk mengenal pasti sejauh mana agenda tadbir urus mempengaruhi keputusan pengundi dan membentuk kepercayaan mereka terhadap kerajaan.

Forum Politiko itu turut menampilkan ahli Majlis Tertinggi Wawasan Negara, Riche Huan, serta Assistant Professor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Lau Zhe Wei sebagai panel. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here