KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 133 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi 20 operasi penguatkuasaan di seluruh negeri itu dalam tempoh 27 Ogos hingga 3 September lalu.
JIM Sabah berkata, PATI yang ditahan terdiri daripada 101 warga Filipina, 32 warga Indonesia dan empat warga Pakistan.
“Daripada jumlah warga Filipina yang ditahan, 45 merupakan lelaki dewasa, 25 perempuan dewasa, 18 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.
Warga Indonesia pula membabitkan 27 lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa, manakala empat warga Pakistan yang ditahan merupakan lelaki dewasa, katanya menerusi kenyataan.
Menurut JIM, operasi yang dijalankan di pelbagai lokasi strategik itu membabitkan pemeriksaan terhadap 289 individu.
JIM Sabah memberi amaran bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“JIM Sabah turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI menerusi saluran rasmi jabatan berkenaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















