KUALA LUMPUR – Kuching dan Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat masing-masing 223 dan 215, setakat jam 10 pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, 35 kawasan lain turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, manakala 23 kawasan mencatatkan tahap sederhana dan lapan kawasan berada pada tahap baik.
Antara kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Shah Alam dengan IPU 168, Jerantut (168), Nilai (167), Seremban (166), Batu Muda (163), Cheras (163) dan Putrajaya (163).
Di Sarawak pula, bacaan tinggi direkodkan di ILP Miri (182), Miri (175), Samalaju (200), Bintulu (198), Mukah (194), Sibu (181), Sarikei (188), Samarahan (192) dan IPD Serian (182).
Azuri berkata, keadaan itu berlaku ketika cuaca kering berterusan melanda sebahagian Rantau Selatan ASEAN.
“Menurut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 5 September lalu, sebanyak 184 titik panas dikesan di Kalimantan, 373 di Sumatera dan satu di Malaysia, iaitu di Perak.
“ASMC turut mengesan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal meliputi bahagian utara Borneo serta asap daripada kelompok titik panas di Kalimantan dan bahagian tengah serta selatan Sumatera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, JAS memberi perhatian khusus terhadap kebakaran kawasan belukar dan tanah gambut berhampiran Jalan Sibujaya Barat, Mukah serta Sungai Nai, Daro, Sarawak.
Azuri berkata, kebakaran di Jalan Sibujaya Barat berjaya dikawal dan dipadamkan bagi kawasan seluas sembilan hektar, manakala kira-kira satu hektar lagi masih dalam tindakan pemadaman.
“Di Sungai Nai, Daro pula, kira-kira 2.5 hektar daripada keseluruhan tiga hektar kawasan yang terbakar masih terbakar, namun keadaan dilaporkan terkawal berdasarkan maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“JAS Sarawak akan meneruskan pemantauan di kedua-dua lokasi termasuk menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran terkini mengenai status kebakaran dan keluasan kawasan terjejas,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan tindakan terhadap pembakaran terbuka akan dipertingkatkan sekiranya berlaku peningkatan pencemaran udara, khususnya aktiviti yang berpunca daripada perbuatan manusia. – MalaysiaGazette
















