GEORGE TOWN – Seorang pekerja maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira tujuh meter ketika menuruni perancah di sebuah tapak pembinaan di Bayan Lepas dekat sini, pada Jumaat lalu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja rombakan perancah di tapak pembinaan berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan pada hari sama, mangsa dipercayai menuruni perancah untuk berhenti rehat bagi makan tengah hari.
“Semasa menuruni perancah tersebut, mangsa telah terjatuh dari ketinggian kira-kira tujuh meter ke lantai.
“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan
“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, susulan kejadian tersebut, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan Arahan Menghentikan Aktiviti Kerja serta Larangan Kacau Ganggu bagi memelihara kawasan kejadian dan memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan keterangan daripada pihak majikan dan saksi bagi mengenal pasti punca kemalangan serta menentukan pematuhan terhadap perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Sasatan dijalankan di bawah Seksyen 15, Seksyen 18A dan Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), serta peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan berkaitan.
“JKKP Pulau Pinang memandang serius setiap kejadian kemalangan di tempat kerja, khususnya kejadian yang melibatkan kerja di tempat tinggi dan aktiviti berkaitan perancah.
“Majikan diingatkan supaya memastikan kerja-kerja tersebut dilaksanakan secara selamat melalui perancangan kerja, pentaksiran dan kawalan risiko yang berkesan, termasuk penyediaan serta penggunaan laluan naik dan turun dan sistem perlindungan daripada jatuh,” katanya. – MalaysiaGazette
















