GEORGE TOWN – Sebuah Lamborghini Huracan bernilai lebih RM1 juta antara 11 kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Operasi Luxury, pada 3 September lalu.
Kesemua kenderaan itu disita selepas didapati melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang sah.
JPJ Pulau Pinang memaklumkan, tindakan berkenaan diambil menerusi operasi yang dijalankan Unit Operasi JPJ negeri bagi memastikan tiada pihak kebal daripada tindakan undang-undang.
“Hasil pemeriksaan mendapati Lamborghini Huracan itu dipandu dengan LKM yang sudah tamat tempoh sejak Jun 2026.
“Untuk rekod, nilai LKM atau cukai jalan setahun bagi kenderaan mewah berspesifikasi tinggi seperti ini mencecah RM12,000,” tulisnya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah kenyataan itu, sikap tidak bertanggungjawab pemilik kenderaan terbabit dianggarkan mengakibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM20,000 susulan kegagalan memperbaharui cukai jalan.
“Nilai atau status sesebuah kenderaan bukan tiket untuk pemiliknya melanggar peraturan.
“Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dilaksanakan secara telus dan agresif tanpa kompromi terhadap mana-mana individu termasuk pemilik kenderaan mewah.
“Pihak berkuasa mengeluarkan amaran keras kepada semua pemilik kenderaan agar tidak culas, khususnya golongan berkemampuan yang memiliki kenderaan mewah supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette
















