SHAH ALAM – Empat acara Para SUKMA Selangor 2026 yang sebelum ini ditangguhkan akibat jerebu akan diteruskan hari ini dengan langkah pencegahan ketat termasuk pembatalan serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 200.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Kontinjen Para SUKMA Selangor 2026 bersama Jawatankuasa Khas Teknikal Para SUKMA.
Keputusan berkenaan turut mengambil kira bacaan IPU terkini di Shah Alam yang mencatatkan 169, manakala Klang merekodkan 161 setakat 11 pagi ini.
“Semua acara sukan akan dibatalkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai 200,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua atlet dan pegawai diwajibkan memakai pelitup muka N95 sepanjang berada di luar bangunan atau kenderaan manakala pendedahan kepada jerebu perlu dikurangkan ketika tidak bertanding atau berehat.
Katanya yang juga Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, pasukan perubatan setiap kontinjen juga perlu menjalankan saringan kesihatan dan memastikan atlet yang rentan terhadap kesan jerebu tidak dibenarkan bertanding.
“Setiap atlet yang bertanding perlu mengisi borang perakuan untuk bertanding dalam keadaan jerebu. Atlet yang tidak bertanding tidak dibenarkan berada di venue pertandingan atau di kawasan terbuka,” katanya.
Najwan berkata, acara Para Olahraga turut diteruskan dengan tempoh setiap sesi pertandingan dipendekkan kepada maksimum dua jam bagi mengurangkan pendedahan atlet kepada jerebu.
Katanya, sesi pertandingan akan berlangsung pada 8 pagi hingga 10 pagi, 4 petang hingga 6 petang dan 8 malam hingga 10 malam.
Sementara itu, penyampaian pingat akan diadakan di Dewan Kompleks Sukan UiTM Shah Alam bermula sesi petang hari ini dan dilaksanakan sebaik sahaja setiap sesi pertandingan tamat.
Semalam, empat acara berkenaan iaitu Para Olahraga, Para Memanah, Para Boling Padang dan Para Renang terpaksa ditangguhkan susulan bacaan IPU 169 di Shah Alam yang berada pada tahap tidak sihat.- MalaysiaGazette
















