Asisten Komisioner Shamsudin Mamat.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an maut selepas dilanggar sebuah Proton Saga berwarna merah dalam kejadian langgar lari di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira 5.40 pagi, membabitkan kenderaan berkenaan dan seorang pejalan kaki di Kilometer 0.8 LDP menghala ke Puchong.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 4.34 pagi apabila Proton Saga berwarna merah itu secara tiba-tiba melanggar mangsa yang sedang berdiri di lorong kiri.

“Kenderaan tersebut terus berlalu dan tidak berhenti selepas kejadian itu.

“Akibat kemalangan, pejalan kaki berkenaan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis meminta mana-mana saksi yang melihat atau berada di lokasi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp M. Sivam di talian 017-3290749.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here