GEORGE TOWN – Seorang lelaki sempat menyelamatkan diri selepas rumah didiaminya di Ayer Itam di sini terbakar hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1.57 pagi itu, rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 1,500 kaki persegi terbakar dengan anggaran 55 peratus kemusnahan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.57 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong tiba di lokasi enam minit kemudian.
Katanya, mangsa, Thomas Tan Swee Khong, 48, berjaya keluar dari rumah itu sebelum ketibaan anggota bomba.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menjalankan kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran, selain dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Paya Terubong.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.22 pagi dan operasi diteruskan dengan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, operasi membabitkan 16 anggota dari BBP Paya Terubong dan BBP Jalan Perak dengan bantuan enam kenderaan termasuk jentera pemadam dan tangki air.
“Operasi ditamatkan pukul 3.57 pagi sebelum lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi tindakan lanjut.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















