KUALA LUMPUR – Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) berpotensi untuk meningkatkan sumbangan perusahaan Bumiputera kepada 31 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2035.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, angka tersebut lebih daripada dua kali ganda sasaran asal sebanyak 15 peratus yang telah ditetapkan pada 2024 dengan mengambil kira sumbangan semasa perusahaan Bumiputera sebanyak 8.1 peratus.
Menurut beliau, ia turut membabitkan penelitian potensi pertumbuhan dalam sektor berpotensi tinggi serta langkah strategik untuk memperkukuh penciptaan kekayaan, pemilikan aset dan penguasaan ekonomi Bumiputera menjelang 2035.
“Kita sudah sampai ke tahap di mana penyertaan dan pemilikan sahaja tidak lagi mencukupi dan fokus kita kini perlu beralih kepada penguasaan ekonomi Bumiputera yang lebih kukuh dan bermakna.
“Sebab itu sasaran sekurang-kurangnya 31 peratus ini menjadi penanda aras untuk memastikan kita berjaya membina syarikat Bumiputera yang lebih besar, berdaya saing dan mampu menguasai sektor bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui media selepas Forum Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat Bumiputera di The Royale Chulan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Forum yang dianjurkan bersama oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) dan UDA Holdings Berhad itu menghimpunkan wakil kerajaan, GLIC, GLC, institusi kewangan, pemain pasaran modal, pemaju hartanah dan sektor swasta bagi memperincikan intervensi strategik untuk memperkukuh peralihan daripada penyertaan kepada pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, PuTERA35 pada asalnya menyasarkan sumbangan syarikat Bumiputera sebanyak 15 peratus daripada KDNK Malaysia menjelang 2035.
Namun kata beliau, dalam tempoh yang sama, unjuran sumbangan bukan Bumiputera dijangka mencecah sekitar 30 peratus.
Sehubungan itu menurutnya, forum itu meneroka potensi sasaran baharu untuk meningkatkan sumbangan syarikat Bumiputera kepada sekurang-kurangnya 31 peratus sebagai penanda aras ke arah penguasaan ekonomi yang lebih berkesan dan mampan.
“Angka tersebut akan dinilai berdasarkan pertumbuhan dalam 11 sektor yang dikenal pasti di bawah PuTERA35, selaras dengan tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap sektor berpotensi serta industri pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV).
“Daripada sektor-sektor tersebut, tujuh sektor strategik utama dikenal pasti mempunyai penyertaan Bumiputera, iaitu perdagangan borong dan runcit, halal dan makanan, pertanian dan industri asas tani, teknologi maklumat, pelancongan, perkhidmatan perniagaan serta logistik,” katanya. – MalaysiaGazette
















