MOSCOW – Rusia mengarahkan Konsulat Jeneral Jerman di Saint Petersburg ditutup, dengan memberi tempoh sehingga 18 September ini kepada para diplomat untuk meninggalkan negara berkenaan.
Kementerian Luar Rusia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menarik balik persetujuan bagi operasi Konsulat Jeneral Republik Persekutuan Jerman di Saint Petersburg.
Menurut kementerian itu, konsulat berkenaan perlu menghentikan operasinya selewat-lewatnya pada 18 September, manakala semua kakitangannya perlu meninggalkan Rusia pada tarikh sama.
Pada masa sama, kakitangan Institut Goethe yang turut ditutup Rusia minggu lalu diarahkan meninggalkan negara itu selewat-lewatnya pada 13 September.
Hubungan Moscow-Berlin yang sememangnya tegang susulan konflik Ukraine semakin meruncing minggu lalu selepas Jerman menuduh Rusia mendalangi serangan dron di Lapangan Terbang Leipzig.
Jerman minggu lalu menutup konsulat Rusia di Bonn serta pusat kebudayaan Rusia di Berlin.
Jerman merupakan antara sekutu utama Ukraine, manakala beberapa negara Eropah semakin bimbang terhadap apa yang disifatkan sebagai serangan hibrid Rusia di wilayah mereka.
Kes di Lapangan Terbang Leipzig membabitkan dron yang membawa bahan letupan dan Kesatuan Eropah (EU) berkata insiden itu mempunyai semua ciri keganasan tajaan negara.
Bagaimanapun, Rusia menolak dakwaan berkenaan.
Hujung minggu lalu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menuduh Berlin mahu berperang lagi. – Agensi
















