KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara keseluruhan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang melabuhkan tirainya di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini semalam.
Kontinjen UPM mengumpul 35 pingat emas, 20 perak dan 15 gangsa untuk mengulangi kejayaan muncul juara pada edisi SUKIPT 2022.
Juara bertahan edisi 2024, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menduduki tempat kedua dengan 29 emas, 21 perak dan 32 gangsa, manakala tuan rumah UM di tempat ketiga selepas mengumpul 28 emas, 18 perak dan 17 gangsa.
UPM yang kali keempat menjadi juara SUKIPT mempamerkan kekuatan kekuatan kontinjen itu dalam acara antaranya hoki lelaki dan wanita serta bola jaring yang masing-masing muncul juara selain olahraga.
Dalam pada itu, sebanyak 46 rekod kejohanan berjaya dipecahkan sepanjang temasya itu, merangkumi 13 rekod dalam olahraga, 18 dalam renang serta 15 dalam memanah.
Manakala, dua rekod kebangsaan berjaya dipecahkan masing-masing menerusi acara kayak TK1 200 meter (m) wanita dan menembak 10m air rifle lelaki.
Atlet HELP University Rodney James Darren James dan Syahida Asyiqin Rusli daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2026, susulan pencapaian cemerlang mereka sepanjang temasya. – MalaysiaGazette
















