Tangkap layar menunjukkan beberapa wanita Muslim penghantar dulang hantaran atau ‘dulang girls’ dengan nyalaan lilin dalam satu majlis perkahwinan rakan bukan Islam.

GEORGE TOWN – Golongan muda dinasihatkan supaya tidak mudah mengikut trend media sosial, khususnya membabitkan simbol, perarakan atau adat daripada agama lain, tanpa terlebih dahulu memahami makna dan kedudukannya menurut syarak.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, masyarakat perlu mengamalkan prinsip “semak dahulu, baru ikut” sebelum menyertai sesuatu trend bagi mengelak melakukan perkara yang bercanggah dengan prinsip agama.

“Lebih membimbangkan pada hari ini ialah kecenderungan sebahagian masyarakat bagi mengikuti sesuatu trend terlebih dahulu dan bertanya tentang hukum kemudian.

“Budaya media sosial menjadikan sesuatu perkara mudah dianggap normal apabila ia cantik dari sudut visual, mendapat banyak tontonan atau dilakukan oleh ramai orang, sedangkan seorang Muslim tidak boleh menjadikan tular, kandungan (content), estetik atau penerimaan masyarakat sebagai ukuran halal dan haram,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian susulan tular video di media sosial memaparkan beberapa wanita Muslim penghantar dulang hantaran atau ‘dulang girls’ dalam satu majlis perkahwinan rakan bukan Islam.

Dulang yang dinyalakan dengan lilin itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warga net termasuk pempengaruh, selain ada yang mengecam perbuatan sekumpulan wanita terbabit kerana menganggapnya menyerupai ritual agama tertentu.

Mengulas isu itu, Mohd Sukki berkata, masyarakat perlu berhati-hati daripada terus menjatuhi hukum hanya berdasarkan rakaman pendek, sebaliknya perlu memastikan fungsi penyertaan wanita berkenaan, konteks perarakan serta sama ada lampu atau lilin yang dibawa sekadar hiasan atau mempunyai fungsi ritual keagamaan.

“Hukum terhadap sesuatu perbuatan bergantung pada hakikat dan konteksnya, bukan semata-mata rupa luaran.

“Namun, jika selepas dikenal pasti bahawa perbuatan membawa lampu atau lilin dan mengiringi pengantin itu merupakan sebahagian daripada ritual atau simbol keagamaan Hindu dalam upacara berkenaan, maka orang Islam hendaklah mengelak penyertaan sedemikian.

“Dalam keadaan itu, ia bukan lagi sekadar persoalan menghormati budaya atau membantu seorang sahabat, tetapi sudah memasuki ruang penyertaan dalam suatu amalan yang mempunyai makna keagamaan,” katanya.

Beliau berkata, Islam tidak pernah melarang umatnya berbuat baik, menghormati atau menjaga hubungan harmoni dengan masyarakat bukan Islam.

Katanya, dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, menghadiri majlis perkahwinan rakan atau jiran bukan Islam pada asasnya dibenarkan selagi tidak membabitkan perkara yang bercanggah dengan syariat.

“Isu yang perlu dibezakan ialah antara menghadiri majlis sosial dengan menyertai sesuatu upacara atau perlakuan yang mempunyai unsur keagamaan seperti jamuan, mengucap tahniah, memberi hadiah dan meraikan persahabatan tidak sama dengan mengambil peranan tertentu dalam suatu ritual,” katanya.

Mohd Sukki berkata, prinsip itu selari dengan penjelasan rasmi Muzakarah MKI pada 15 Mei 2025 bahawa Islam membezakan antara hubungan sosial dengan penyertaan dalam ritual agama lain.

Katanya, Garis Panduan JAKIM berhubung penyertaan orang Islam dalam perayaan bukan Islam turut menyebut antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan simbol agama serta lampu atau lilin apabila ia berada dalam konteks upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

“Maka, kita tidak boleh menggunakan hujah mudah bahawa ‘ini cuma budaya’ tanpa terlebih dahulu mengetahui asal, fungsi dan konteks sesuatu amalan.

“Tidak semua budaya mempunyai unsur agama, tetapi tidak semua perkara yang dinamakan budaya pula terpisah daripada agama,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Sukki berkata, masyarakat tidak boleh membuat kesimpulan bahawa setiap kali seorang Muslim memegang lilin atau lampu, hukumnya terus haram kerana ia bukan milik eksklusif mana-mana agama, sebaliknya hukum bergantung kepada konteks penggunaannya.

Beliau berkata, toleransi tidak bermaksud mencampuradukkan agama, sebaliknya masyarakat perlu menghormati penganut agama lain mengamalkan agama dan tradisi mereka sebagaimana umat Islam mahu batas agama mereka dihormati.

“Keharmonian sebenar bukan apabila semua sempadan agama dihapuskan, tetapi apabila kita mampu hidup bersama dengan saling menghormati sempadan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here