Wan Shahriniza mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johir Bahru hari ini atas pertuduhan kemuka dokumen palsu untuk dapat kontrak Felda RM5 juta

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap seorang kontraktor atas kesalahan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan projek menurap jalan dan menaik taraf sistem perparitan di sebuah Felda RM5 juta, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Wan Shahrinizam Wan Ibrahim yang berusia 50 tahun, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah sejurus pendakwaan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mahkamah turut memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara tidak jujur menggunakan satu dokumen yang diketahui palsu sebagai tulen iaitu penyata akaun bank bagi bulan November 2022 sehingga Januari 2023 milik sebuah syarikat yang mana telah mengarahkan seorang pegawai untuk mengemukakan dokumen tersebut ke dalam Sistem e-Perolehan Felda.

Perbuatan itu bagi permohonan bagi mendapatkan projek menurap semula permukaan jalan kampung dan menaik taraf sistem perparitan di Felda Ciku 3, Gua Musang, Kelantan berjumlah RM5 juta.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh secara tidak jujur mengemukakan dokumen yang diketahui palsu sebagai tulen iaitu Surat Setuju Terima Tender Bagi Kerja-Kerja Menurap Semula Dengan Premix dan Membaik Pulih Sistem Perparitan di Jalan Parit Yaani dan Parit Botak, Batu Pahat serta kerja-kerja berkaitan yang mana tertuduh mengarahkan pegawai sama untuk mengemukakan dokumen tersebut ke dalam sistem sama bagi permohan sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Watan, Taman Desa 3, Parit Setongkat, Muar pada Februari 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan menerima representasi sebagai ‘Take Into Consideration’ (TIC) terhadap satu lagi pertuduhan berkaitan yang dikemukakan peguam Azalea Nazihah dan Muhammad Denial mengikut 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here