REMBAU – Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun maut manakala dua lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 7.6, Jalan Pedas-Kundur-Linggi di sini pada 3.40 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau Supt Ngiam Ooi Ming berkata mangsa yang bekerja sebagai mekanik bersama seorang penumpang wanita berusia 23 tahun menaiki kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun dari sebuah kedai makan di Pedas menuju ke Kundur.
“Tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu serta wanita tersebut mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan dibawa ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan.
“Pemeriksaan awal mendapati keadaan jalan adalah lurus, permukaan jalan kering dan rata serta kawasan kejadian mempunyai pencahayaan lampu jalan,” katanya.
Ngiam berkata polis percaya kemalangan berpunca daripada kenderaan yang hilang kawalan dan terbabas sendiri namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau berkata kenderaan itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Rembau untuk pemeriksaan lanjut dan akan dihantar ke Puspakom Seremban bagi penilaian kerosakan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- BERNAMA
















