Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hadir pada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 bertemakan “Agenda Pendidikan Melayu” di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC). Foto AIZAT ZAINAL, 08 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Institusi pengajian tinggi tidak seharusnya terus mewarisi kelemahan di bangku sekolah sebaliknya sistem pendidikan perlu memastikan anak Melayu dan Bumiputera memiliki asas ilmu kukuh sebelum melangkah ke menara gading.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, permasalahan pendidikan tinggi sebenarnya bermula jauh lebih awal khususnya apabila asas membaca, menulis, mengira dan menaakul tidak dibina dengan baik.

“Jika asas membaca, menulis, mengira dan menaakul tidak dibina dengan kukuh, universiti akhirnya hanya menerima masalah yang terbentuk sejak di bangku sekolah.

“Sebab itu, survival pendidikan Melayu dan Bumiputera tidak boleh dibincangkan dalam lingkungan universiti sahaja. Ia mesti melibatkan keseluruhan ekosistem iaitu keluarga, sekolah, universiti, industri dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan hala tuju sempena Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 bertemakan ‘Pendidikan Melayu dan Bumiputera: Membina Masa Depan Bangsa, Mencorak Masa Depan Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Reaksi Peserta yang hadir pada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 bertemakan “Agenda Pendidikan Melayu” di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC). Foto AIZAT ZAINAL, 08 SEPTEMBER 2026.

Menurut Zambry, perjuangan pendidikan anak bangsa tidak boleh berhenti kepada soal akses atau jumlah kemasukan ke universiti sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pembentukan generasi yang mempunyai keupayaan untuk bersaing dan mencipta masa depan sendiri.

Perkara itu menjadi lebih penting dalam menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi yang pantas, termasuk dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), robotik, tenaga baharu, aeroangkasa, bioteknologi, keselamatan siber dan pembuatan termaju.

“Kita tidak mahu anak Bumiputera hanya menjadi operator kepada teknologi yang dimiliki orang lain. Kita mahu mereka menjadi jurutera, penyelidik, pencipta, pemilik paten, pengasas syarikat dan pemimpin industri,” katanya.

Zambry berkata, hala tuju pendidikan Melayu dan Bumiputera perlu dilihat dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, khususnya menuju 2057 ketika Malaysia menyambut 100 tahun kemerdekaan.

Beliau berkata, persoalan utama ialah sama ada ketika itu orang Melayu dan Bumiputera hanya menjadi pengguna serta penonton atau mampu muncul sebagai pencipta ilmu, peneraju teknologi, pemimpin ekonomi dan pembina tamadun.

“Survival pendidikan Melayu dan Bumiputera pada masa hadapan bukan sekadar survival kuota. Survival yang sebenar ialah survival keupayaan.

“Ukurannya bukan sekadar berapa ramai yang memasuki universiti, tetapi berapa ramai yang mampu berfikir, menguasai STEM, mencipta teknologi, memiliki harta intelek, membina syarikat global dan memimpin institusi bertaraf dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, perubahan turut perlu berlaku terhadap naratif pendidikan Melayu dan Bumiputera yang tidak seharusnya selama-lamanya berasaskan anggapan bahawa mereka lemah dan perlu dibantu..

Beliau berkata, dasar afirmatif masih mempunyai rasional selagi wujud ketidakseimbangan struktur, namun matlamat akhirnya mestilah pemberdayaan, kecemerlangan dan kemandirian, bukannya kebergantungan yang berpanjangan.

Zambry turut menegaskan pendidikan perlu bergerak daripada akses kepada kualiti, daripada kelayakan kepada kompetensi, daripada pekerjaan kepada keusahawanan serta daripada penggunaan teknologi kepada pemilikan teknologi.

“TVET mesti menjadi laluan utama pembangunan bakat, bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua. Ekonomi masa hadapan memerlukan ahli teknologi, juruteknik berkemahiran tinggi, jurutera dan penyelesai masalah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here