Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpandangan UMNO tidak perlu menjadi Pas dan Pas juga tidak perlu menjadi UMNO, sebaliknya kedua-dua parti berkenaan perlu mengetahui titik perbezaan yang boleh membawa manfaat serta kemakmuran kepada negara.

Beliau berkata, perbezaan antara parti politik dalam kalangan umat Islam bukan sesuatu yang salah, sebaliknya sikap yang tidak betul ketika menangani perbezaan sesama Muslim perlu dielakkan.

“Biar orang Islam ada banyak persatuan, pandangan dan parti-parti politik, tetapi matlamat mereka satu.

“Mereka tahu apa yang hendak mereka sepakati dan mereka tahu di mana yang patut mereka berbeza. Perbezaan itu memberikan manfaat kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan pada Multaqa Ilmuan 2.0 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Pra Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.

Program tersebut turut dihadiiri beberapa pimpinan Pas yang turut diundang sempena PAU yang akan bermula pada Khamis ini.

Mohd Asri berkata, Pas dan UMNO sememangnya mempunyai perkara yang berbeza, malah setiap parti mempunyai kelebihan masing-masing yang boleh dimanfaatkan demi kepentingan masyarakat.

“Saya berbeza dengan pandangan Pas dalam beberapa perkara, tetapi dia adalah seorang Muslim. Bagi dia hak yang mesti saya tunaikan sebagai Muslim dan demikian juga sebaliknya.

“Pas mesti berbeza dengan UMNO. Ada hal-hal yang Pas mungkin bagus, ada hal-hal yang UMNO bagus,” ujarnya.

Bagaimanapun, Asri mengingatkan supaya perbezaan antara kedua-dua parti itu tidak berubah menjadi persengketaan atau menyentuh perkara asas agama.

Beliau berkata, sejarah menunjukkan perbezaan antara Pas dan UMNO bukan sekadar berkaitan cara berpolitik, malah pernah melibatkan perkara sensitif termasuk soal akidah.

“Tak payahlah sampai tidak berbeza. Biarlah berbeza, tetapi jangan berbeza pada usul agama. Berbeza pada perkara-perkara cabang, tidak mengapa,” katanya.

Asri turut berpandangan usaha menyatukan orang Melayu tidak semestinya bermaksud mereka perlu berada dalam satu parti politik sahaja.

Sebaliknya, beliau berkata, yang lebih penting ialah umat Islam memahami bila mereka perlu bersatu dan bila perbezaan boleh diterima demi memberikan pilihan kepada rakyat.

“Kita mahu manifesto pilihan rakyat UMNO, manifesto pilihan rakyat Pas supaya rakyat ada pandangan, ada pilihan.

“Pergi satu tempat makan, satu kedai dia buka pening juga kita. Biarlah ada tiga pilihan makanan tetapi semuanya halal,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru peranan agama dalam menangani perbezaan politik perlu menjurus kepada usaha mendamaikan pihak yang berselisih dan bukannya meruncingkan keadaan.

“Peranan agama ialah mendamaikan, bukan meruncingkan,” katanya.

Asri turut mengingatkan pemimpin dan ahli politik supaya tidak menjadikan perjuangan dalam parti semata-mata untuk mendapatkan kedudukan, populariti atau dikenang masyarakat.

Beliau berkata, perjuangan yang dilakukan seharusnya mempunyai niat yang lebih besar, iaitu demi meninggikan kalimah Allah.

“Jangan berjuang untuk diingati. Hari ini gambar kita naik, esok gambar orang lain.

“Minggu ini orang puji kita, minggu depan dia berpaling. Minggu ini netizen angkat kita semua, minggu depan entah siapa pula,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, jika perjuangan dilakukan atas dasar kepentingan peribadi atau parti semata-mata, segala masa dan tenaga yang dicurahkan mungkin tidak membawa nilai yang diharapkan.

“Kalau kita semua mengikhlaskan diri untuk kalimah Allah yang paling tinggi, kita tidak perlu banyak perbincangan dan pertemuan untuk persepakatan.

“Tetapi, jika kita semua masih ada kepentingan, saya ada kepentingan, orang lain ada kepentingan, kita boleh buat 1,000 seminar, kita tidak akan dapat perpaduan,” katanya.

Beliau tuurt berharap umat Islam dapat mengambil pengajaran daripada sejarah perjuangan Rasulullah SAW dan mengutamakan keikhlasan dalam usaha memperkukuh perpaduan.

“Mudah-mudahan Allah memberikan kita semangat Ansar,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here