KUALA LUMPUR – UMNO menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai ‘selebriti digital’ di peringkat bahagian dan cawangan menerusi Sekolah Digital UMNO bagi memperkukuh gerak kerja penerangan parti sepanjang 2026 hingga 2027.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha itu penting bagi memastikan semua ahli UMNO mempunyai kemahiran dan kebolehan untuk menjawab serta membetulkan pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadap parti.
Menurutnya, gerak kerja penyebaran maklumat kini tidak lagi hanya bergantung kepada jentera penerangan, sebaliknya perlu digerakkan oleh semua ahli parti di setiap peringkat.
“Like, share dan komen yang kita gerakkan di peringkat cawangan, bahagian dan negeri dilihat sebagai satu senjata yang dapat membantu kita terutama sekali berhadapan dengan algoritma penerangan kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan dan Majlis Aspirasi Penerangan UMNO Malaysia di Dewan Tun Dr. Ismail, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, penggunaan teknologi digital termasuk gerakan like, share dan komen membabitkan calon serta pasukan media calon terbukti membantu mewujudkan pendekatan baharu dalam penerangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), khususnya berdasarkan pengalaman di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, katanya, Sekolah Digital UMNO akan digerakkan dari peringkat akar umbi bagi membentuk lebih ramai ahli yang mempunyai kemahiran dalam penggunaan platform digital.
“Secara khusus akan kita lakukan supaya ahli kita mempunyai kemahiran dan kebolehan bukan sahaja untuk menjawab tetapi membetulkan pelbagai fitnah yang diturunkan kepada parti kita,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina turut mengumumkan satu instrumen baharu penerangan UMNO Malaysia dikenali sebagai Artificial Intelligence Rakyat Assistance (AIRA) yang dibangunkan dengan kerjasama Sekolah Patriotik UMNO Malaysia.
Katanya, AIRA menggunakan kecerdasan buatan sebagai pendekatan baharu bagi membantu memberikan penjelasan dan klarifikasi berkaitan pelbagai isu yang memerlukan penerangan.
“AIRA diwujudkan pertamanya di PRN Negeri Sabah dan kita melihat ia membantu calon dan masyarakat untuk mendapat klarifikasi tentang calon-calon yang kita utamakan dan kita temukan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu turut memberi manfaat khususnya kepada calon baharu yang masih belum dikenali masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Azalina berkata, UMNO akan terus menggunakan pendekatan dan platform baharu bagi memastikan penerangan parti lebih canggih serta mampu berdepan cabaran komunikasi digital menjelang tempoh 2026 hingga 2027. – MalaysiaGazette
















