KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berharap lebih ramai wakil Puteri diberi peluang menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau yang mesra disapa sebagai Along berkata, kejayaan dua wakil Puteri, YB Ika (Nadhirah Afiqah Abdull Rahim) dan YB Maira (Siti Nur Umaira Hasim) sebagai calon pada PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan membuktikan wanita muda mampu memimpin dan membawa perubahan.
“Along mengambil kesempatan ini, mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan parti, YAB Presiden kerana memberi kepercayaan kepada wakil Puteri untuk menjadi calon di PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan.
“Dan Along harapkan, akan ada lagi calon daripada Puteri UMNO dalam PRN dan PRU akan datang,” katanya semasa membuat Ucapan Dasar Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, peluang kepada wanita muda tidak seharusnya diberikan hanya kerana faktor usia atau jantina sebaliknya berdasarkan kemampuan, kerja dan penerimaan rakyat.
Katanya, wanita muda perlu diberikan ruang daripada peringkat akar umbi sehingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi membolehkan mereka terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan.
“Wanita muda bukan sekadar diperlukan untuk menggerakkan jentera, bukan sekadar memenuhi dewan, bukan sekadar menjadi wajah kempen. Kita mesti diberikan ruang untuk memimpin,” beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pagi tadi.
Nurul Amal berkata, kemenangan dalam pilihan raya bukan garisan penamat sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab lebih besar kepada rakyat.
Wakil rakyat daripada Puteri perlu sentiasa mengingati masyarakat termasuk mereka yang tidak mengundi mereka dan memastikan amanah yang diberikan dilaksanakan sebaiknya.
“Yang paling penting bukan gelaran di hadapan nama kita tetapi kepercayaan yang rakyat letakkan di belakang nama kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















