LIPIS – Isu berkaitan mayat pesakit Covid-19 Orang Asli yang lewat disempurnakan berlaku akibat salah faham antara pihak keluarga dan pengurusan hospital.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata, ini disebabkan penyampaian maklumat yang kurang difahami oleh waris mendiang yang berduka dan tertekan kerana kematian isterinya.

Jelas beliau, mayat tidak dapat diuruskan lebih awal berikutan kenderaan jenazah dilaporkan rosak selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membawa mayat mangsa Covid-19.

“Bagaimanapun pihak Jakoa mengarahkan supaya kenderaan jenazah daripada Jakoa Pekan dan Jakoa Cameron Highlands bergerak segera ke Hospital Lipis bagi membawa pulang jenazah ke pangkuan keluarga untuk disemadikan.

“Perkara ini telah ditangani oleh Jakoa Lipis pada Rabu semasa hari kematian cuma berlaku kelewatan perkhidmatan kerana kerosakan kenderaan Jakoa dan juga disebabkan jenazah Covid- 19 yang memerlukan pengendalian khas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan perlu menggunakan kenderaan yang sesuai.

“Bagaimanapun didapati kenderaan tersebut berada di Pekan, Pahang untuk satu tugasan lain yang mengambil masa sebelum boleh bergerak ke Hospital Lipis pada hari Khamis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan dua suami wanita Orang Asli yang meninggal dunia di Hospital Lipis buntu kerana ketiadaan kenderaan untuk menghantar mayat pulang ke Kampung Sinderut dan Kampung Lenjang, Ulu Jelai untuk pengebumian.

Kedua-dua lelaki Orang Asli berkenaan mengalami tekanan dan sedih sambil mendakwa ketiadaan kenderaan pihak berwajib untuk menghantar mendiang isteri masing-masing yang masih berada di unit forensik hospital tersebut.

Menurut Johari, situasi tersebut perlu mengambil kira faktor muka bumi dan keadaan jalan yang sukar dilalui kenderaan biasa serta kedudukannya yang jauh di pedalaman.

Tambah beliau, urusan pengendalian kes-kes Covid-19 perlu diuruskan oleh pihak yang mempunyai kepakaran iaitu Kementerian Kesihatan.

“Namun disebabkan faktor jarak yang jauh ke pedalaman maka Jakoa bersedia mengambil risiko yang besar untuk menguruskannya walaupun Jakoa bukanlah agensi yang terlatih untuk menguruskan jenazah Covid-19,” ujarnya.

Johari berkata, mayat dijangka dibawa masuk ke Pos Pedalaman Senderut hari ini dan akan diuruskan sebaiknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast