Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan supaya melihat dan mengkaji semula tuntutan kumpulan pendidikan Cina Zong Dong, Jiao Zong dan persatuan Cina lain yang akan menghantar memorandum 12 perkara mengenai pendidikan kaum itu di Malaysia.

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, pihaknya mengesyaki ada agenda tersembunyi dalam kalangan kumpulan itu yang tidak henti-henti menuntut untuk kelangsungan pendidikan Cina di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tuntutan dari kumpulan adalah agenda yang lahir dari kerjasama MCA dan Parti Komunis Cina.

“Apa lagi mereka hendak? Sebelum ini kerajaan telah meluluskan 10 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Dong Zong pula baru-baru ini menuntut 34 buah SJKC lagi.

“Mereka tidak putus-putus menuntut pengiktirafan UEC dan lain-lain lagi. Pemimpin politik Melayu yang selalu melaungkan semangat Melayu tidak harus ambil rendah perkembangan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Sijaruddin, melihat kepada tuntutan kaum Cina itu, Perkasa tertanya-tanya apakah mereka inginkan satu sistem pendidian khusus untuk kaum Cina sahaja tanpa penglibatan kaum lain?

Katanya, apakah kumpulan itu lupa mereka sekarang berada di Malaysia iaitu hasil cantuman Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, bukan di Taiwan, di negara China atau Singapura.

“Malah di Singapura pun tidak ada sekolah Cina. Apakah mereka buta sejarah dan tidak faham Perlembagaan Negara? Tindakan mereka membuat tuntutan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) seperti mengugut kerajaan dan sombong menunjukkan kekuatan politik mereka.

“Kita melihat persatuan ini tidak berhenti-henti mendesak kerajaan supaya memenuhi tuntutan mereka tanpa sedikit pun sensitif terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dipegang oleh kerajaan sekarang.

“Bahkan, jauh dari memikirkan sensitiviti kaum lain. Siapakah Dong Zong dan Jiao Zong? Fahamkah mereka apa itu Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” tegasnya.

Beliau berkata, parti politik Cina dalam kerajaan sepatutnya menasihati mereka agar tuntutan yang dibuat itu selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengambil kira peranan pendidikan dalam menyatukan masyarakat supaya semua rakyat Malaysia mempunyai aspirasi nasional demi masa depan yang aman damai dan cemerlang.

Kata beliau, jika tuntutan mereka itu dipenuhi akan hancurlah perpaduan nasional dan seluruh negara akan porak peranda jadinya.

“Perkasa merasa sangat dukacita melihat persatuan Cina ini cuba merobek dan menghancurkan perpaduan yang telah dibina sejak merdeka lagi.

“Malangnya mereka seolah cuba menyalakan api perkauman, memisahkan bangsa dan kaum melalui pendidikan.

“Perkasa ingin mengingatkan parti politik kerajaan supaya berpegang kepada prinsip betapa pentingnya kestabilan politik, ekonomi dan sosial yang dibina melalui pendidikan,” katanya.

Tegas Sirajuddin, Perkasa juga mengingatkan dan mendesak kerajaan supaya tidak lagi melayan dan tunduk tuntutan persatuan Cina itu yang cuba menekan kerajaan terutama pada musim menjelangnya PRU 14. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast