KUALA LUMPUR – Seorang pengarah sebuah syarikat kejuruteraan yang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, mengaku tidak bersalah menipu seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri pada tahun lalu.
Tertuduh, Yusmadi Yusof didakwa menipu Tan Sri terbabit sebanyak RM1.5 juta bagi projek pembekalan bahan-bahan keperluan Petronas di Kemaman, Terengganu.
Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus, tertuduh memohon untuk dibicarakan kesalahan yang dilakukan di sekitar Damansara Heights, di sini.
Mengikut kertas pertuduhan, Yusmadi menipu Tan Sri terbabitn bahawa dia akan mendapatkan keuntungan dalam projek pembekalan itu sedangkan tertuduh mengetahui bahawa tiada sebarang surat kelulusan diberikan Petronas.
Berikutan itu, tokoh perniagaan yang difahamkan seorang bekas pengerusi bukan eksekutif syarikat senaraian awam menyerahkan wang berjumlah RM1.5 juta selepas diperdayakan Yusmadi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun hingga 10 tahun selain sebat serta denda jika sabit salah.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun Yusmadi yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah antara RM20,000 hingga RM30,000 memandangkan beliau menghidap strok dan memerlukan wang membeli ubat ubatan selain menjaga keluarganya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 selain sebutan kes pada 21 Jun depan. – MalaysiaGazette
















