Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diringi Menteri Digital, Gobind Singh Deo (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla (dua kanan) melakukan gimik dan meluncur ketika Pelancaran Boost Bank di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 06 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sasaran 400 transaksi e-pembayaran per kapita dicapai lebih awal berbanding sasaran asal pada 2026.

Menurut Anwar, walaupun terdapat peningkatan transaksi e-pembayaran sejak 2011 namun angka tersebut masih rendah.

Bercakap semasa majlis pelancaran bank digital pertama negara, Boost Bank hari ini, Anwar yakin sasaran tersebut mampu dicapai.

“Memang ada peningkatan transaksi per kapital sejak 2011 telah naik tetapi masih rendah. Sebab itu tanggungjawab kita bersama. Tahniah Axiata dan RHB yang turut membantu kerana sasaran yang telah ditetapkan adalah 400 transaksi per kapita pada tahun 2026

“Ini bukan sasaran yang terlalu tinggi, sukar dicapai malah saya jangka kalau kita ada asakkan lebih kuat untuk menyelamatkan bangsa dan negara kita harus capai lebih awal daripada itu.

“Bermakna gerakan daripada sekarang dengan bersungguh-sungguh daripada keluarga Boost Bank ini – Axiata, RHB sebagai tunggak harus turun dan menyebarkan supaya kemudahan ini dimanfaatkan oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana keutamaan kita dan rakyat terbanyak,” kata Anwar.

Pengguna boleh mendaftar kad debit yang baharu ketika Pelancaran Boost Bank di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 06 JUN 2024.

Sementara itu Anwar turut menyarankan kepada Boost Bank untuk mengadakan program celik digital kepada rakyat.

Menurut Anwar, tranformasi digital berlaku sangat pantas dan ia memerlukan pemahaman oleh rakyat.

“Sebab itu saya usulkan Axiata, RHB, Boost Bank jangan terlepas usaha untuk terus melancarkan, mengadakan program-program latihan kepada anak-anak.

“Kita jangan anggap semua orang faham. Mereka faham melalui cara praktik, tak faham dari segi teori. Kita kena perkenal dan beri kecelikan tambahan,” kata Anwar.

Tambah beliau, Kementerian Digital yang diterajui oleh Gobind Singh Deo boleh membantu bank digital dalam program celik digital kepada rakyat.

Boost Bank adalah bank digital pertama yang membolehkan pembukaan akaun secara embedded melalui aplikasi eDompet Boost.

Boost Bank merupakan gabungan 40:60 oleh RHB Bank dan Boost Holdings Bhd, anak syarikat tidak langsung Axiata Group Bhd.

Turut hadir pada majlis pelancaran adalah Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank Fozia Amanulla dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Pegawai Eksekutif Kumpulan, RHB Banking Group Mohd Rashid Mohamad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast