BANGI- Warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kemenangan penduduk Palestin terutamanya kepada 65 penuntut negara
tersebut yang sedang menuntut di universiti ini.
Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, doa Qunut Nazilah untuk Palestin sering dibaca selepas menunaikan solat di Masjid UKM dan beberapa program
lain juga turut diadakan.
“Antaranya adalah mengadakan perhimpunan aman solidariti Palestin di beberapa kawasan di UKM termasuk di perkarangan Masjid UKM dan majlis bacaan Yassin turut diadakan,”
katanya.
Atas dasar kemanusiaan, bagi mengurangkan beban pelajar warganegara Palestin di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 November 2023, telah
bersetuju untuk memberikan Bantuan Sara Hidup dan bantuan fi kursus pengajian atau yuran pengajian kepada pelajar menggunakan peruntukan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat
Palestin (AAKRP).
“Di UKM, kami telah mengecualikan yuran pengajian termasuk yuran perkhidmatan bagi semester 1 dan 2 Sesi Akademik 2023/2024 kepada semua pelajar prasiswazah dan
pascasiswazah warganegara Palestin yang mengikuti pengajian di sini.
“Pengecualian ini tidak termasuk dengan yuran penginapan dan denda yang dikenakan ke atas pelajar,” ujar beliau.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menyalurkan bantuan sara hidup berjumlah RM251,100 kepada 27 orang pelajar warganegara Palestin yang berada di Malaysia
dan sedang aktif mengikut pengajian di UKM.
“Bantuan ini dibayar kepada setiap pelajar tersebut sebanyak RM900 sebulan mulai November 2023 hingga Oktober 2024, tertakluk mereka berada di Malaysia dalam tempoh tersebut.
“Semoga bantuan yang diberikan dapat memberikan semangat dan meringankan beban kewangan pelajar Palestin dalam meneruskan pengajian masing-masing,” tambah beliau.
Beliau turut menyatakan kutipan sumbangan Tabung Palestin juga digerakkan kepada seluruh warga UKM bagi membantu rakyat Palestin. – MalaysiaGazette















